KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diarah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meneliti kelompongan perundangan sedia ada berkaitan pelupusan kenderaan terbiar di ibu negara dan Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan itu perlu disegerakan susulan jumlah aduan awam yang tinggi berhubung kenderaan terbiar di kawasan bandar.
“Di Kuala Lumpur sahaja, aduan awam berkaitan kenderaan terbiar mencecah lebih 2,500 kes setiap tahun. Ini bukan angka kecil dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.
“Namun kita berdepan beberapa kekangan perundangan, antaranya kenderaan terbiar di premis swasta yang tidak boleh ditunda ke depot pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kenderaan sudah lama berada di depot tetapi masih belum dapat dilupuskan kerana halangan undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Car Medic Sdn Bhd, sebuah pusat rawatan automotif berlesen menjalankan pelupusan kenderaan yang telah dilucut hak bagi meninjau sendiri pelaksanaan proses pelupusan lebih pantas, teratur dan lestari.
Dr Zaliha menegaskan kenderaan terbiar tidak boleh terus mencacatkan wajah bandar raya, justeru cadangan penyelesaian tuntas dan menyeluruh perlu dirangka secara bersama oleh agensi berkaitan.
Beliau turut menggalakkan pemilik yang ingin melupuskan kenderaan secara sukarela agar hadir ke pusat rawatan automotif berlesen.
“Proses ini mudah dan pemilik akan menerima bayaran tunai berdasarkan keadaan kenderaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial