AM

Peniaga Rugi Hampir RM200,000 Diperdaya Sindiket Penipuan Tempahan Tidak Wujud

15/06/2025 11:43 AM

KUALA TERENGGANU, 15 Jun (Bernama) -- Seorang peniaga kerugian RM175,452.80 diperdaya sindiket penipuan tempahan barangan tidak wujud, kata Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Azli Mohd Noor.

Beliau berkata pada 3 Jun lepas,  mangsa lelaki berusia 50 tahun itu dihubungi oleh adik angkatnya yang memaklumkan dia ditawarkan projek membekal barangan sukan oleh Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Putrajaya ke Kolej Universiti Bestari (KUB), Setiu. 

Beliau berkata atas sebab kekangan kewangan, adik angkat mangsa tidak dapat menerima projek berkenaan dan menawarkannya kepada mangsa.

"Mangsa bersetuju menerima projek untuk menghantar tempahan barangan ke KUB pada 8 Jun.

"Pada masa sama, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek wanita yang ingin membuat tempahan barangan lain pula seperti kurma, keris, dan plat. Suspek telah memberikan mangsa nombor telefon pembekal untuk dihubungi," katanya dalam kenyataan hari ini.            

Azli berkata mangsa kemudian menghubungi suspek yang menyamar sebagai pembekal dan membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM175,452.80 ke beberapa akaun yang diberikan.

Bagaimanapun setelah diperiksa, mangsa mendapati suspek bukan petugas daripada pejabat  Kementerian Belia dan Sukan Putrajaya seperti yang didakwa dan tempahan berkenaan juga tidak wujud.

"Mangsa membuat laporan polis pada 12.32 tengah hari semalam. Sumber kewangan mangsa ialah wang simpanan sendiri dan kenalannya yang juga rakan kongsi perniagaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan