MELAKA, 12 Jun (Bernama) -- Isu keperluan rakyat seperti pembinaan dan menaik taraf infrastruktur strategik, penambahan sekolah dan kemudahan pendidikan antara fokus Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Melaka yang berlangsung di Seri Negeri, di sini hari ini.
Menerusi kenyataan Pejabat Ketua Menteri Melaka, mesyuarat yang merupakan platform penting menyelaras pembangunan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri itu turut menyentuh aspek peningkatan fasiliti kesihatan awam dan pelaksanaan projek perumahan rakyat.
“Kerajaan negeri amat menghargai ruang perbincangan bersama kerajaan Persekutuan dan yakin setiap cadangan akan diteliti secara profesional demi manfaat bersama.
“Kerajaan Negeri Melaka turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan terhadap aspirasi pembangunan negeri ini,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Melaka dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan berlangsung selama kira-kira satu jam di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, Seri Negeri.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta barisan kepimpinan negeri.
Kenyataan itu turut memaklumkan mengenai komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat bagi memastikan segala perancangan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berimpak dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial