PEKAN, 11 Jun (Bernama) -- Keunikan budaya, kraftangan dan makanan yang menarik di Pahang merupakan antara pengalaman terbaik delegasi Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) sepanjang lawatan mereka selama empat hari di sini.
Berkongsi pengalaman semasa kunjungan ke Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi, Setiausaha Agung AIPA Siti Rozaimeriyanty Abdul Rahman berkata antara tarikan utama ialah seni tenunan Pahang Diraja yang memiliki keunikan tersendiri berbanding hasil tenunan negara serantau.
“Di sini kami dapat melihat segala hasil kraf tangan dan kalau seni tenunan ini, saya dapat melihat corak-corak dan pemakaian yang berbeza berbanding negara ASEAN yang lain,” katanya kepada pemberita di sini.
Lawatan tersebut dianjurkan Parlimen Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang sempena Mesyuarat ke-8 Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) 2025 di Kuantan pada 9 hingga 12 Jun.
Siti Rozaimeriyanty turut merakamkan penghargaan kepada Parlimen Malaysia dan Kerajaan Negeri Pahang kerana memilih lokasi di luar ibu negara untuk penganjuran mesyuarat tersebut, sekali gus memberi peluang kepada delegasi menikmati pengalaman budaya tempatan.
“Ramai dalam kalangan kami pertama kali melihat kawasan di luar Kuala Lumpur, dan ada juga yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kuantan. ASEAN adalah mengenai pemahaman dan pertukaran budaya sesama kita,” katanya.
Menyentuh mengenai mesyuarat AIPACODD, beliau berkata perbincangan berjalan lancar dan berjaya merumuskan dua draf konsensus yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung AIPA yang dijadual berlangsung September ini.
Menurutnya, mesyuarat tersebut memainkan peranan penting dalam usaha memastikan negara-negara ASEAN bebas daripada ancaman dadah sekali gus memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai ekonomi keempat terbesar dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial