KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Presiden Poland Andrzej Duda hari ini berkunjung ke Menara Berkembar Petronas di sini sebagai sebahagian daripada program lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia.
Beliau yang tiba pada 2.30 petang dengan diiringi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan beberapa pegawai kanan Poland, meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau jambatan udara di tingkat 42 selain menikmati pemandangan dari tingkat 86 menara ikonik itu.
Duda dan delegasi beliau disambut Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) Mazuin Ismail dan diberi taklimat mengenai senibina menara berkembar tertinggi di dunia itu oleh Pengurus Perkhidmatan Pengurusan Lawatan Menara Berkembar Petronas Safful Bahari Din.
Semalam, Duda diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya disusuli pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut melawat Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (KAD) di Kem Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.
Lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia merupakan yang pertama sejak beliau memegang jawatan Presiden Poland pada Ogos 2015.
Lawatan itu tepat pada masanya serta signifikan iaitu ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN, dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada separuh pertama 2025.
Ia juga melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati serta kerjasama kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1971.
Pada 2024, Poland ialah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial