SEREMBAN, 10 Jun (Bernama) -- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) hari ini menyalurkan sumbangan RM2,000 kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi membantu kebajikan pelajar terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, awal pagi semalam.
Naib Canselor USIM Datuk Prof Dr Sharifudin Md Shaarani berkata pihak universiti turut mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil di Pusat Islam USIM yang dihadiri lebih 100 warga universiti, terdiri daripada pelajar dan staf, sebagai tanda solidariti.
“USIM berdukacita atas musibah yang menimpa pelajar UPSI itu. Saya mewakili USIM ingin menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga pelajar yang terkorban dan mendoakan supaya semua mangsa yang tercedera segera pulih.
“Kami amat memahami kesakitan ditanggung dalam detik mencabar ini, dan mahu seluruh warga UPSI tahu bahawa mereka tidak berseorangan, USIM juga memberikan sokongan moral dan rohani melalui majlis tahlil dan akan meneruskan kutipan dana melalui Tabung USIM Prihatin bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata bagi memperluas usaha kebajikan ini, USIM turut melancarkan kempen derma kilat bermula 9 hingga 16 Jun ini melalui pautan https://shorturl.at/jBtet, kempen ini dilaksanakan di bawah inisiatif Tabung USIM Prihatin.
Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Bas disewa khas oleh pelajar itu berlepas dari Jertih, Terengganu pada 9 malam Ahad dan sedang dalam perjalanan ke kampus di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial