IPOH, 10 Jun (Bernama) -- Sebanyak 15 mangsa yang cedera dalam kemalangan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding, Gerik, semalam masih menerima rawatan di hospital manakala 18 lagi telah dibenarkan pulang.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata sebanyak 10 mangsa dirawat di Hospital Taiping manakala dua mangsa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.
"Tiga mangsa (sekeluarga yang menaiki Perodua Alza) menerima rawatan di Hospital Baling, Kedah manakala 18 mangsa kemalangan dibenarkan keluar dari wad dan telah dibenarkan pulang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dr Feisul Idzwan berkata semua mangsa yang sedang menerima rawatan berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, JKN Perak dalam kenyataan memaklumkan sebanyak sembilan pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) melibatkan 40 anggota daripada peringkat negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak digerakkan untuk memberi sokongan kepada mangsa terselamat dan keluarga.
"Kementerian Kesihatan (KKM) melalui JKN Perak akan terus memantau perkembangan insiden ini dan bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan.
“Pihak Kementerian Kesihatan dan JKN Perak sekali lagi mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dan mendoakan agar mereka yang cedera diberikan kesembuhan segera," menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53 JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial