AM

Gangguan Suis Landasan Jejas Jadual Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya - Rapid Rail

09/06/2025 10:52 AM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan jadual berikutan gangguan suis landasan di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Bangsar yang berlaku awal pagi ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan gangguan itu, dikesan pada kira-kira 5.30 pagi dan menyebabkan tren dari Pasar Seni ke Bangsar menghala ke Putra Heights terpaksa dipandu secara manual.

“Langkah ini diambil demi memastikan keselamatan penumpang, namun ia menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan di antara dua stesen berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dan memulihkan operasi secepat mungkin.

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen telah ditempatkan di platform dan ruang legar stesen, untuk memberikan bantuan sewajarnya.

“Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen dan penumpang dinasihatkan untuk merujuk laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat terkini,” kata Rapid Rail.

Rapid Rail turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan