AM

Lebuh Acheh, "Jeddah Kedua" Kini Diabadikan Dalam Galeri Haji Pulau Pinang

08/06/2025 03:31 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusof

GEORGE TOWN, 8 Jun (Bernama) -- Di sebalik hiruk-pikuk pelancong yang mengunjungi Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town, tersembunyi sebuah kawasan yang pernah menjadi nadi penting kepada umat Islam di rantau ini untuk menunaikan ibadah haji.

Digelar sebagai “Jeddah Kedua”, Lebuh Acheh di sini pernah menjadi titik tumpuan utama para jemaah haji daripada seluruh Nusantara termasuk Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Thailand, Sumatera dan Sulawesi, sekali gus menjadi pusat persediaan rohani dan fizikal jemaah dengan Masjid Melayu Lebuh Acheh menjadi tempat ibadah, taklimat haji serta penginapan sementara pada 1808.

Pensyarah Kanan Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Aiza Maslan@ Baharudin berkata era penggunaan kapal laut jemaah haji pada ketika itu, begitu rancak sehinggakan tempat berkumpulnya jemaah haji sebelum belayar terletak di Lebuh Acheh yang menerima jolokon sebagai “Jeddah Kedua”, dalam kalangan jemaah haji dan penduduk di situ.

Beliau berkata Lebuh Acheh bukan sekadar tapak warisan, tetapi nadi sejarah yang menghubungkan Malaysia dengan Mekah dan simbol perpaduan umat Islam serantau dalam mengejar fardhu haji, malah di sekitarnya wujud pelbagai rumah wakaf, madrasah dan gudang yang menyokong keperluan jemaah.

“Lebuh Acheh juga turut menjadi pusat kegiatan ekonomi bagi masyarakat setempat, apabila tibanya musim haji, ada penduduk di situ mengambil peluang untuk berniaga seperti menjual barangan kelengkapan haji, makanan, pakaian, kain batik dan sebagainya.

“Ia seolah-olah menjadi pesta yang dibuka 24 jam, ekoran kehadiran jemaah haji dan sanak saudara pada ketika itu begitu ramai, malah apa yang lebih menarik peniaga di situ berbilang kaum termasuk Cina serta  India dan bukan hanya orang Melayu sahaja,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama di Galeri Haji Pulau Pinang di Lebuh Acheh di sini.

Memandangkan Lebuh Acheh menjadi pusat tumpuan jemaah haji berkumpul, Aiza berkata “Syeikh Haji” ketika itu yang merupakan ejen haji berlesen yang dipantau oleh Pusat Kawalan Haji Pulau Pinang, turut memainkan peranan di situ.

Berikutan pada ketika itu masih belum ada badan khusus untuk mengawal selia urusan haji, beliau berkata urusan berkenaan diselia oleh orang perseorangan, ejen haji, syarikat perkapalan dan para “Sheikh Haji” yang bertangungjawab mengurus segala urusan haji jemaah, termasuk urusan di pelabuhan di Jeddah dan Mekah.

“Mereka inilah yang akan buat pas haji, pasport haji, beli tiket kapal dan mereka ini jugalah yang akan menguruskan penempatan apabila jemaah haji berada di Jeddah, malah akan berhubung (dengan) Syeikh Haji di Jeddah serta menguruskan kotak Sahara iaitu sebuah peti simpanan untuk kegunaan jemaah haji.

“Jadi kegiatan Syeikh Haji ini umpama tonggak atau tulang belakang pada kegiatan haji sebelum penubuhan Tabung Haji, manakala harga tiket kapal laut yang ditawarkan bermula RM769 hingga RM1,000 mengikut kelas,” katanya.

Aiza yang mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam bidang Sejarah Haji Orang Melayu dari Universiti Malaya, berkata era penggunaan kapal laut yang membawa jemaah haji ke Kota Mekah, bermula sekitar 1786 dengan kapal kargo seperti yang dicatatkan dalam diari Syeikh Omar Basyir, iaitu sarjana terkemuka di Pulau Pinang pada ketika itu.

“Mulai 1950, ada jemaah meminta supaya mengadakan sebuah kapal yang khusus membawa jemaah haji dan kapal pertama yang menjadi kapal haji membawa jemaah haji dari Pulau Pinang ialah Kapal Tyndareus, sebuah kapal perang yang diubah suai selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada 1949 dan 1950, dengan memuatkan penumpang sehingga 2,500 orang,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyambut baik usaha Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) mewujudkan Galeri Haji Pulau Pinang di Lebuh Acheh, yang pernah digunakan sebagai pusat haji dan pejabat urusan jualan tiket kapal haji yang telah beroperasi dari tahun 1828 hingga tahun 1960-an.

Aiza berkata galeri berkenaan mengumpul banyak sejarah mengenai perjalanan jemaah haji untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu, sekali gus mengimbas nostalgia jemaah zaman dahulu yang sanggup bersusah payah dan bersesak di atas kapal dengan membawa beberapa beg dan “Tong Sahara” sebagai keperluan sepanjang keberangkatan mereka ke Tanah Suci.

Sementara itu, Pengerusi YIPP Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata Galeri Haji yang satu-satunya di Malaysia itu, bertujuan bagi menghidupkan semula sejarah dan realiti masyarakat Islam yang ingin menunaikan ibadah haji suatu ketika dahulu.

Beliau berkata galeri tersebut menarik lebih 10,000 pelawat dari dalam dan luar negara termasuk dari Indonesia, Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Singapura sejak dibuka pada 2025, sekali gus menerima pengiktirafan sebagai galeri haji yang pertama di Malaysia oleh Malaysian Book of Records (MBOR).

“Galeri itu dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat bermula 10 pagi hingga 4.30 petang, menonjolkan serta mempamerkan barangan yang pernah digunakan jemaah haji pada zaman dahulu, malah mengangkat pengalaman spiritual haji di Malaysia,” katanya.

Galeri Haji Pulau Pinang itu mempunyai sekitar 40 koleksi barangan haji yang dipamerkan untuk tontonan masyarakat, bagi mengetahui mengenai proses mengerjakan haji pada zaman dahulu yang mengguna kapal laut.

Antara yang dipamerkan termasuklah buku “Chateten ka-Tanah Suci”, poskod, syiling lama, kiswah serta koleksi gambar-gambar kapal haji yang telah membawa jemaah haji ke Tanah Suci Mekah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan