WASHINGTON, 8 Jun (Bernama-dpa) -- Rumah Putih pada Sabtu memaklumkan bahawa Pengawal Nasional akan dikerahkan ke Los Angeles ketika protes yang berlarutan akibat serbuan imigresen, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Protes tercetus pada Jumaat selepas pegawai-pegawai Imigresen dan Kastam (ICE) melaksanakan waran geledah di seluruh bandar raya itu.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan menyerang pegawai ICE pada Jumaat.
Ketua United States Border Patrol, Michael Banks berkata di platform X bahawa beberapa tangkapan dibuat pada Sabtu berhubung dakwaan serangan terhadap ejen persekutuan.
Dalam satu kenyataan, Rumah Putih menyifatkan operasi ICE itu “penting untuk mengubah dan menghentikan pencerobohan penjenayah haram ke Amerika Syarikat”.
“Susulan keganasan ini, pemimpin Demokrat California yang lemah gagal melindungi rakyat mereka," menurut kenyataan itu.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani satu memorandum, mengerahkan 2,000 anggota Pengawal Nasional “bagi menangani pelanggaran undang-undang yang dibiarkan berlarutan.
“Pentadbiran Trump mempunyai dasar toleransi sifar terhadap kelakuan jenayah dan keganasan, khususnya jika ia ditujukan kepada pegawai penguat kuasa undang-undang yang hanya menjalankan tugas mereka.
"Penjenayah ini akan ditahan dan dibawa ke muka pengadilan dengan segera,” menurut Rumah Putih.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial