AM

Pelajar Antarabangsa Rasa Seperti Di Rumah Sambut Aidiladha Di Malaysia

07/06/2025 12:16 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 7 Jun (Bernama) -- Ketika umat Islam di Malaysia menyambut Aidiladha hari ini, walaupun jauh daripada keluarga mereka ramai pelajar antarabangsa daripada pelbagai negara turut meraikan perayaan dalam keselesaan dan rasa dimiliki, di tempat yang kini mereka  anggap sebagai rumah kedua.

Bagi pelajar antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seperti Muhammad Habibullah dari Nigeria, sambutan Aidiladha tahun ini merupakan kali ketiganya menyambut perayaan itu di Malaysia.

Beliau berkata penerimaan dan keprihatinan yang diterimanya daripada masyarakat Malaysia telah banyak membantu meredakan kerinduan terhadap kampung halaman.

“Walaupun kami merindui keluarga di tanah air, Malaysia memberikan suasana yang sangat baik, kami rasa seperti menyambut bersama keluarga yang lebih besar, dengan pelbagai pengalaman.

“Malaysia bukan sekadar rumah kedua, ia benar-benar telah menjadi rumah untuk saya,” kata lelaki berusia 37 tahun itu yang sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam Kejuruteraan Elektrik ketika ditemui Bernama hari ini.

Bagi Mohammed Raza Asfak Chidimar, 25, dari Gujarat, India, yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains (Data Sains) di UTM, sambutan Aidiladha di Malaysia merupakan pengalaman yang menyentuh hati walaupun berjauhan daripada ibu bapanya.

“Rakyat Malaysia sangat mesra, terutamanya di UTM, universiti kami. Mereka sedaya upaya berlaku adil kepada pelajar antarabangsa dan melayan kami dengan sangat baik.

“Malaysia benar-benar terasa seperti rumah kedua. Walaupun budaya sedikit berbeza, inti pati Aidiladha seperti nilai keimanan, pengorbanan, dan perpaduan, tetap sama,” katanya.

Pelajar tempatan Izham Syafarin Akhir Ruddin, 21, dari Perak pula tidak dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga, kerana kekangan tugasan yang perlu diselesaikan.

“Ini kali pertama sambut Aidiladha tanpa keluarga, sejujurnya di UTM saya tidak rasa keseorangan sebab pihak universiti sentiasa memastikan pelajar turut diraikan semasa perayaan,” katanya yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia.

Terdahulu seramai lebih 600 pelajar di UTM menerima sumbangan makanan sempena Aidiladha daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Hishamuddin Abdul Rahim berkata sumbangan berkenaan, merupakan kurniaan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM.

“Kurniaan ini sebahagian daripada tradisi setiap Aidilfitri dan juga Aidiladha, dengan Seri Paduka Baginda mengurniakan juadah kepada pelajar yang sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan dan dapat menyambut perayaan bersama rakan-rakan,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM Prof Dr Ali Selamat berkata UTM menjunjung kasih di atas kurniaan Seri Paduka Baginda, yang dapat memberikan kegembiraan kepada pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.

“Dianggarkan di UTM, 70 peratus adalah pelajar tempatan dan selebihnya antarabangsa. Justeru, kita amat berterima kasih kepada Seri Paduka Baginda kerana sudi mengurniakan sumbangan yang pelajar dapat merasai nikmat kebersamaan menyambut Aidiladha,” katanya yang juga menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan