AM

Pantai Penyabong Destinasi Riadah Pilihan Pengunjung

06/06/2025 05:25 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 6 Jun (Bernama) -- Pantai Penyabong terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Mersing semakin mendapat tempat dalam kalangan pengunjung sebagai destinasi riadah yang tenang dengan panorama indah. 

Tinjauan Bernama mendapati pantai dilengkapi kemudahan asas seperti tandas awam, medan selera, kawasan letak kenderaan dan taman permainan itu meriah dengan kehadiran pengunjung sekali gus memberi impak positif kepada pemain industri pelancongan.

Peniaga makanan laut segar celup tepung, Adnan Muda, 64, berkata jualannya pada musim cuti sekolah ketika ini meningkat tiga kali ganda berikutan pertambahan jumlah pelanggan yang berkunjung ke gerainya yang terletak tidak jauh dari pantai berkenaan. 

Adnan yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Zakiah Salim, 53, berkata mereka menjual ikan, udang dan sotong celup tepung pada harga berpatutan mengikut saiz, selain nasi lemak, pisang goreng, keropok lekor, otak-otak, satar serta cucur udang. 

"Pelanggan tempatan dan luar begitu menggemari suasana waktu petang berlatarbelakangkan pemandangan laut yang memukau dan desiran angin pantai sepoi-sepoi bahasa ketika menikmati keenakan hidangan celup tepung.

"Selain itu, keindahan panorama Pantai Pasir Lanun yang terletak berhampiran yang dikatakan setanding luar negara turut menjadi tarikan pengunjung termasuk konvoi bermotosikal, secara tidak langsung memberi limpahan rezeki buat kami sekeluarga," katanya.

Seorang pengunjung Raja Bidah Raja Sulaiman, 63, dari Kota Bharu, Kelantan berkata dia terpesona melihat pemandangan pantai berkenaan serta kawasan sekitar seperti Pantai Pasir Lanun. 

"Saya datang ke rumah anak di Mersing dan dia bawa bersiar-siar di Penyabong ini… memang cantik pemandangan di sini, cucu-cucu pun seronok sebab ada taman permainan. 

"Selain itu, kami sekeluarga dapat menikmati minum petang dan makan ikan celup tepung sambil dengar deruan ombak. Anak-anak pun terujalah nak bergambar untuk abadikan kenangan di sini," katanya. 

Pada masa sama, Raja Bidah memohon agar pihak berwajib dapat menambah baik mutu kemudahan asas dan meningkatkan capaian akses Internet bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong. 

Seorang lagi pengunjung Shahrul Ali, 34, dari Endau di sini pula berkata dia sering berkunjung ke perairan Penyabong yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan hasil laut itu bersama-sama rakannya bagi melakukan aktiviti memancing. 

"Kebiasaannya hasil tangkapan yang kami dapat seperti ikan kerapu, jenahak, tenggiri dan selar selain udang, sotong dan ketam tetapi bergantung kepada musim. 

"Selain hasil tangkapan dijadikan lauk buat keluarga, aktiviti memancing dapat beri ketenangan dan merehatkan minda bertemankan suasana yang mendamaikan… boleh dikatakan Penyabong menjadi satu daripada tempat tumpuan kaki pancing," katanya. 

Sementara itu, Pengurus Penyabong Warisan Resort Mohd Rosli Yusof, 58, berkata pusat peranginan yang beroperasi lebih 10 tahun dan mempunyai 53 bilik serta tiga inap desa itu lazimnya penuh pada hujung minggu, cuti persekolahan atau cuti umum.

"Kita menerima ramai pelancong dari daerah lain dan negeri jiran seperti Pahang dan Negeri Sembilan, malah ada sebahagiannya yang menginap hanya untuk tidur dan keluar awal pagi untuk pergi memancing manakala isteri serta anak-anak mereka bersantai di sini,” katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan