GEORGE TOWN, 6 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri menjemput lebih ramai usahawan wanita termasuk ibu tunggal yang menjadi pencari nafkah utama keluarga untuk mendaftar sebagai peserta Penang Women Entrepreneurs Mentoring Programme 2025 atau PenMentor2025 sebelum 31 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata inisiatif itu bagi membantu wanita memperoleh ilmu perniagaan sekali gus mengembangkan perniagaan mereka menerusi program khas oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dalam usaha membolehkan wanita mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan.
"PenMentor satu program yang menyatukan latihan intensif, bimbingan mentor dan peluang rangkaian untuk usahawan wanita. Lebih 350 peserta telah berjaya sejak 2020.
"Tahun lepas kita lihat peningkatan 50 peratus purata jualan selepas menyertai program ini, membuktikan bimbingan yang betul boleh membawa hasil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata PenMentor yang dilaksanakan buat tahun keenam itu juga akan membantu usahawan wanita celik digital bergerak dengan rentak gelombang ekonomi masa kini dan masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC Datuk Ong Bee Leng berkata PenMentor akan berlangsung selama tiga bulan, iaitu dari Ogos hingga Oktober tahun ini dengan merangkumi empat hari Kursus Intensif Keusahawanan dan enam kali bimbingan bersama mentor.
Beliau berkata program itu dibahagikan kepada tiga kumpulan bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan edisi baharu tahun ini dalam bahasa Mandarin dengan anggaran setiap kumpulan mempunyai 35 orang menti (peserta).
"Menti akan dibahagikan dalam subkumpulan yang mengandungi lapan menti dan dua mentor. Pembahagian berdasarkan nature of business, iaitu jika perniagaan berasaskan makanan, kita akan kumpulkan bersama, jika berasaskan pembuatan, kita akan kumpulkan bersama.
"Mentor yang akan dipilih datang daripada pelbagai latar belakang industri dan mempunyai pengalaman lebih kurang lima tahun dalam bidang masing-masing," katanya.
Ong berkata PenMentor tahun ini lebih berfokus kepada topik pemasaran digital dengan modul pemasaran digital akan dikendalikan oleh Digital Penang yang merangkumi subjek TikTok Shop, Canva dan Capcut.
Antara syarat penyertaan program berkenaan ialah peserta merupakan wanita Pulau Pinang, warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas serta yuran pendaftaran RM200 bagi kumpulan berpendapatan B40 manakala RM400 bagi kumpulan M40 dan T20.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial