KUANTAN, 6 Jun (Bernama) -- Lebih 70 delegasi dari negara ASEAN dijangka menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) 2025 di Pahang, minggu hadapan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata mesyuarat dari 9 hingga 12 Jun itu akan dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor.
Beliau berkata mesyuarat bertemakan ‘Uniting Parliaments for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges’ itu membincangkan komitmen negara anggota ASEAN dalam menangani cabaran semasa berkaitan dadah secara kolektif dan terangkum.
“Perbincangan mesyuarat itu berkisarkan usaha mencari penyelesaian masalah pengedaran dadah serta mengenai kerjasama serantau supaya isu ini tidak menjadi lebih teruk dan kita dapat membanteras atau mengurangkan jenayah berkaitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain itu, Mohd Sharkar berkata resolusi dicapai dalam mesyuarat itu akan dibawa ke Perhimpunan Agung AIPA yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 22 Sept di Kuala Lumpur.
Pada 3 Jun, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata polis akan mempertingkat kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran mesyuarat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial