AM

Kerajaan Dicadang Wujud Garis Panduan, Latihan Penarik Kenderaan - Murugiah

05/06/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Kerajaan dicadang mewujudkan satu garis panduan rasmi melibatkan prosedur penarikan kenderaan, susulan aduan mengenai tindakan kasar oleh pihak tertentu yang menjalankan operasi penarikan kenderaan apabila pemilik gagal membuat bayaran bulanan kepada institusi kewangan.

Naib Presiden MIC Datuk T.Murugiah berkata terdapat aduan bahawa individu atau kumpulan penarik kenderaan bertindak kasar dengan datang dalam kumpulan besar dan menimbulkan ketakutan kepada pemilik kenderaan serta ahli keluarga mereka.

“Situasi ini amat membimbangkan dan tidak wajar berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan satu garis panduan rasmi bagi menyelaras prosedur penarikan kenderaan di seluruh negara.

Selain itu, beliau mencadangkan agar setiap individu yang bertugas sebagai penarik kenderaan diwajibkan menjalani latihan khusus dan tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta dibekalkan kad kuasa rasmi yang memperakui identiti dan kelayakan mereka.

“Bank-bank juga perlu hanya melantik syarikat keselamatan berlesen yang mendapat kebenaran dan pemantauan KDN bagi menguruskan operasi penarikan kenderaan,” katanya.

Murugiah berkata langkah berkenaan bukan sahaja akan menjamin ketenteraman awam, tetapi juga melindungi kedua-dua pihak iatu pemilik kenderaan dan penarik serta memulihkan persepsi masyarakat terhadap proses penarikan kenderaan yang sah.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan