AM

Pembangunan Selangor Aero Park Perkukuh Visi Negara Jadi Hab Kargo Udara Terkemuka ASEAN - Loke

05/06/2025 06:55 PM

SEPANG, 5 Jun (Bernama) -- Pembangunan Selangor Aero Park (SAP) akan memperkukuh usaha Malaysia untuk menjadi hab kargo udara terkemuka di ASEAN, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pembangunan di kawasan berkeluasan 600 ekar itu sejajar dengan rancangan kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pusat logistik dan aeroangkasa serantau.

Loke berkata KLIA mempunyai kelebihan strategik yang unik iaitu keluasan 100 kilometer persegi dan ketersambungan baik yang menjadikannya lokasi ideal untuk pembangunan hab kargo serantau.

“Kita mempunyai ramuan dan prasyarat yang tidak dapat ditandingi negara lain di ASEAN. KLIA mempunyai keluasan 100 kilometer persegi dan berpotensi untuk dibina sehingga lima landasan (tambahan dua kepada tiga landasan sedia ada).

"Tiada lapangan terbang lain di rantau ini sebesar itu,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah pembangunan SAP di sini hari ini.

Terletak dalam kawasan KLIA Aeropolis, SAP mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.3 bilion dan akan dibangunkan secara berfasa untuk memastikan ekosistem pelaburan yang terancang dan bersedia untuk masa depan.

Ia dijangka menyumbang RM55.2 bilion dalam pendapatan tahunan industri aeroangkasa dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Loke berkata kerajaan turut mendapat sokongan daripada China untuk menjadikan KLIA sebagai hab kargo bagi pasaran ASEAN.

“China akan menyokong KLIA sebagai kargo hab untuk negara China bagi rantau ASEAN. Ini usaha sama yang sangat penting dan strategik,” katanya.

Beliau berkata SAP dijangka menarik pelaburan dalam industri komponen dan teknologi aeroangkasa serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO).

“Kita mahu tarik pelaburan di SAP daripada industri rantaian pembekalan dalam bidang aerospace. Komponen-komponen aerospace akan dihasilkan di kawasan ini, termasuk teknologi berkaitan dan juga MRO. Saya yakin lebih banyak pelaburan dan usaha pihak swasta untuk bangunkan bidang MRO pesawat di KLIA,” katanya.

Bagi menyokong hasrat kerajaan mencapai visi tersebut, Loke berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia sedang mengkaji semula sistem kawalan trafik udara KLIA untuk menangani peningkatan trafik penumpang dan kargo.

“Kita menjangkakan bahawa trafik udara di KLIA akan semakin sibuk, bukan sahaja dengan kehadiran pesawat penumpang tetapi juga pesawat kargo. Kita sedang buat kajian untuk mereka bentuk semula keseluruhan kawalan trafik udara supaya lebih efektif dan efisien dari segi pergerakan trafik,” katanya.

Sementara itu Loke berkata satu pengumuman mengenai projek Aerotrain KLIA akan dibuat dalam masa terdekat.

"Saya akan buat sidang media tidak lama lagi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan