AM

GITC Lancar Majlis Pakar Perkukuh Landskap TVET Negara

04/06/2025 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Badan Penyelaras TVET Kerajaan-Industri (GITC) hari ini melancarkan Majlis Pakar (CoExp), melambangkan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kerjasama antara kerajaan, industri, dan akademia.

GITC dalam satu kenyataan memaklumkan majlis itu dipengerusikan oleh Datuk J. Palaniappan yang juga anggota lembaga pengarah GITC, menghimpunkan wakil daripada 21 sektor berbeza, termasuk pakar industri terkemuka, ahli akademik, pihak berkuasa kawal selia dan inovator.

Palaniappan berkata CoExp bukan sekadar platform jaringan, sebaliknya medan pertemuan para profesional berpengalaman menyumbang kepakaran dalam memperkasakan TVET untuk pembangunan negara.

“Majlis Pakar berkenaan secara tidak langsung bakal menyuntik DNA industri ke dalam ekosistem TVET,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran CoExp yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Acara pelancaran itu dihadiri lebih 400 peserta, termasuk ahli CoExp yang dilantik serta tetamu jemputan dan dirasmilkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah.

Pada majlis pelancaran itu turut diumumkan pelantikan ahli CoExp serta mengetengahkan peranan mereka dalam TVET selain menjelaskan mandatnya, termasuk memberi nasihat strategik kepada GITC dalam aspek dasar, kurikulum, keperluan industri, dan jaminan kualiti.

Bagi memastikan perwakilan yang seimbang dan mencerminkan kepelbagaian dalam ekosistem TVET, sebanyak 80 peratus komposisi ahli CoExp terdiri wakil industri, manakala selebihnya daripada akademia dan agensi kerajaan.

Kumpulan pakar ini mewakili 21 sektor industri yang memiliki kepakaran dalam bidang seperti pertanian, perhutanan dan perikanan, perlombongan dan kuari, serta pembuatan.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Megat Sany menyifatkan penubuhan CoExp sebagai langkah penting ke arah memperkukuh penglibatan industri secara langsung dalam program TVET.

Beliau menggesa semua pihak berkepentingan TVET supaya aktif, berkongsi kepakaran, dan memacu perubahan – menterjemahkan hasil perbincangan kepada tindakan konkrit  untuk membina ekosistem TVET yang menyeluruh, bertaraf dunia, berdaya tahan dan relevan, serta menjamin masa depan cerah untuk belia dan meningkatkan daya saing ekonomi negara. 

“Ini tempoh yang amat penting untuk TVET di Malaysia, dan saya percaya melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan pendidik, kita boleh memperkasakan belia dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran kerja serta menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi GITC Tan Sri Soh Thian Lai dalam ucapannya menyentuh mengenai peranan penting kerjasama antara industri dan akademia dalam memajukan ekosistem TVET di Malaysia.

Beliau berkata dengan sokongan KPT, CoExp dilihat sebagai pemangkin transformasi yang dapat membantu memastikan kurikulum TVET kekal relevan, meningkatkan kebolehpasaran graduan, serta menyelaraskan inisiatif merentasi semua sektor utama.

“Penubuhan Majlis Pakar atau CoExp ini detik bersejarah bagi GITC dan masa depan TVET di Malaysia. Kami sungguh berbesar hati menerima kehadiran sekumpulan tokoh berkaliber yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai sektor industri. 

“Sumbangan mereka amat penting untuk memastikan program TVET bukan sahaja relevan dan berkualiti tinggi, malah benar-benar memenuhi keperluan majikan dan menyumbang kepada daya saing ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut berharap ahli CoExp terus aktif menyumbang kerana penglibatan proaktif mereka penting dalam meningkatkan standard TVET, menangani ketidakpadanan kemahiran yang pada akhirnya membantu meningkatkan prospek kerjaya graduan. 

Acara itu turut menampilkan sesi perkongsian bertajuk Enhancing Learning Through Work: WBL Journeys and Achievements oleh penyelaras utama pembelajaran berasaskan kerja (WBL) Politeknik Ungku Omar Shaipul Anuar Mohamed Zainudin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan