AM

Hubungan Malaysia-Guinea-Bissau Gerbang Strategik Ke Benua Afrika - PM Anwar

04/06/2025 01:35 PM

PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan hubungan Malaysia dengan Guinea-Bissau sebagai pintu masuk strategik untuk meluaskan kehadiran negara di seluruh benua Afrika, meletakkan negara di Afrika Barat itu sebagai laluan penting untuk perdagangan, pelaburan dan penglibatan diplomatik.

Bercakap pada sidang media bersama dengan presiden republik itu Umaro Sissoco Embalo, yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, Anwar berkata hubungan yang semakin kukuh antara kedua-dua negara menandakan titik perubahan baharu dalam pendekatan Malaysia ke arah Afrika.

"Adalah jelas bahawa Guinea-Bissau akan menjadi negara penting untuk memanfaatkan momentum positif kami di Afrika Barat, dan berpotensi ke benua Afrika yang lebih luas," katanya. 

Lawatan Embalo adalah yang pertama dilakukan oleh ketua negara dari Guinea-Bissau ke Malaysia.

Sambil mengakui bahawa hubungan masa lepas adalah 'sederhana', Anwar berkata penglibatan baharu ini mencerminkan cita-cita bersama untuk menjalin hubungan yang lebih kukuh dalam pelbagai sektor.

"Presiden Embalo mempunyai visi untuk melibatkan Malaysia bukan sahaja secara dua hala, tetapi sebagai jambatan ke ASEAN," tambahnya.

Anwar berkata sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia menghargai perkongsian berdasarkan kepercayaan serta inspirasi bersama, dan pendirian proaktif Presiden Embalo melengkapkan prinsip dasar luar negara. 

"Dasar kami adalah untuk melibatkan diri dan berkawan dengan semua negara. Pendirian Presiden Embalo sejajar dengan prinsip ini. Kami amat gembira kerana beliau telah mengambil inisiatif untuk menjalin hubungan baharu dengan Malaysia berdasarkan kepercayaan dan pertalian bersama," katanya.

Presiden Embalo pula memuji Malaysia sebagai "negara saudara" dan menyatakan keyakinan terhadap potensi perkongsian yang kukuh dan berkekalan.

Beliau turut menyuarakan hasrat Guinea-Bissau untuk belajar daripada pengalaman dan amalan terbaik Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan industri.

”Guinea-Bissau mahu menjadi rakan kongsi utama Malaysia di Afrika, sama seperti Malaysia boleh menjadi rakan kongsi utama kami bukan sahaja di Asia, tetapi di seluruh dunia," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan