AM

Malaysia-UK Wujudkan Jawatankuasa Bersama Perkukuh Ekosistem Francais - Ahmad Zahid

04/06/2025 01:15 PM

Daripada Syamsiah Sahat

LONDON, 4 Jun (Bernama) -- Satu jawatankuasa bersama antara persatuan perniagaan francais Malaysia dan United Kingdom (UK) akan diwujudkan bagi memperkukuh ekosistem francais negara di UK, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha tersebut dilaksanakan sebagai platform sokongan untuk membantu jenama francais Malaysia menembusi pasaran UK menjelang tahun depan.

“Banyak peluang terbuka luas untuk syarikat Malaysia mengembangkan perniagaan francais di UK terutama berkaitan produk halal termasuk makanan, perubatan tradisional dan kosmetik.

“Saya akan mempengerusikan jawatankuasa Kabinet mengenai francais ini, saya akan memperoleh laporan sejauh mana ia boleh dilakukan dengan segera dan pencapaiannya akan saya lihat setiap enam bulan apabila saya mempengerusikan jawatankuasa Kabinet ini dua kali setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Dialog Perniagaan Francais: Malaysia-UK di sini, semalam sempena lawatan kerja empat hari ke UK.

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga komited untuk membantu memperkukuh ekosistem francais melalui dasar pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), geran digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan matlamat mencapai RM100 bilion jualan menjelang 2030.

Beliau berkata kerjasama lebih erat akan dilaksanakan bagi menggalakkan francais UK meneroka pasaran ASEAN melalui Malaysia dan pada masa sama mengembangkan jenama Malaysia ke pasaran UK melalui jawatankuasa berkenaan.

-- BERSAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan