AM

PERKESO Selamatkan Lebih RM48 Juta Dana Sejak 2020 Hasil Siasatan Penipuan

03/06/2025 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Dana keselamatan sosial berjumlah hampir RM49 juta berjaya diselamatkan sejak 2020 hasil siasatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terhadap kes-kes penipuan faedah.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata dari tempoh itu hingga April tahun ini, sebanyak 679 kes melibatkan unsur penipuan disiasat secara aktif antaranya skim Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Skim Keilatan dan Program Saringan Kesihatan (HSP).

“Kejayaan ini dicapai hasil siasatan sehingga membawa kepada keputusan menggantung 383 kes atau 56.5 peratus daripada keseluruhan yang disiasat, sekali gus mencerminkan tadbir urus dan tatakelola yang tegas mampu memberi impak besar terhadap kecekapan sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Seminar Penipuan, Pengelakan dan Kesilapan Dalam Tuntutan Keselamatan Sosial dan Insurans anjuran PERKESO dengan kerjasama Pemeriksa Perubatan Bebas Lembaga Amerika (ABIME) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Presiden dan Pengasas ABIME Prof Dr Mohammed Ranavaya.

Mengulas lanjut, Sim berkata penipuan faedah bagaimanapun kekal menjadi cabaran apabila kerugian mencecah RM2.1 juta direkodkan sepanjang 2024 yang berpunca daripada tuntutan tidak sah.

“Dalam usaha berterusan mengekang ketirisan dana, PERKESO juga menyemak semula Elaun Layanan Sentiasa (ELS) bagi memastikan kelayakan penerima disahkan secara berterusan.

“Sepanjang tempoh dari 2020 hingga April lepas, sebanyak 509 kes ELS disemak, dengan 117 kes atau 22.9 peratus dicadangkan digantung, sekali gus menyaksikan penyelamatan dana keselamatan sosial untuk jangka panjang menjangkau lebih RM12.2 juta,” katanya.

Beliau berkata cabaran penipuan yang kini bersifat global serta didorong oleh mobiliti buruh dan perkhidmatan rentas sempadan memerlukan Malaysia mengamalkan rangka kerja pencegahan menyeluruh meliputi pembaharuan undang-undang, penguatkuasaan yang tegas, inovasi digital dan komunikasi telus.

Dalam pada itu, Sim turut mengumumkan Dr Mohammed Azman sebagai penerima anugerah The Lifetime Fellowship of the American College of Independent Medical Examiners (FACIME) dan Master Certified Independent Medical Examiner bagi mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang perubatan hilang upaya dan kesihatan pekerjaan.

“Anugerah ini bukan sahaja satu penghormatan kepada Datuk Seri Dr Mohammed Azman dan PERKESO tetapi juga satu kebanggaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Malaysia, menunjukkan profesional tempatan mampu mencapai pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.

FACIME adalah kelayakan tertinggi dalam Bidang Perubatan Hilang Upaya, yang diberikan hanya kepada mereka yang mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan, kemahiran dan kebolehan sebagai seorang Pemeriksa Perubatan Bebas yang berkualiti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan