AM

Sikap Ambil Ringan Aspek Keselamatan Tayar Undang Risiko Nahas Motosikal

03/06/2025 09:42 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Sikap penunggang motosikal yang mengambil ringan terhadap aspek keselamatan tayar, sama ada dari segi bunga tayar, tekanan angin atau tahap kehausan boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata tahap kesedaran masyarakat terhadap aspek itu masih rendah, malah ramai tidak tahu cara menilai keadaan tayar seperti membaca indikator kehausan (TWI) atau memeriksa tarikh luput.

“Ramai hanya menukar tayar selepas ia benar-benar haus atau apabila berlaku kebocoran. Antara mitos yang berlegar ialah ‘tayar masih tebal, jadi tak perlu tukar’ tanpa melihat usia atau keadaan sebenar getah.

“Ada juga yang percaya tayar terpakai atau tayar botak lebih laju sedangkan itu fahaman yang sangat berbahaya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jangka hayat tayar motosikal biasanya antara tiga hingga lima tahun dari tarikh pengeluaran, namun bagi kegunaan harian yang lebih lasak seperti penghantar makanan, tayar mungkin perlu diganti dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun.

“Tayar yang selamat untuk kegunaan harian harus mempunyai struktur yang mencengkam dengan baik terutama ketika hujan, sesuai dengan jenis permukaan, mempunyai struktur tahan lama serta indeks kelajuan dan beban yang sesuai dengan motosikal yang digunakan,” katanya.

Law berkata kedalaman bunga yang kurang daripada 1.6 milimeter menandakan tayar perlu diganti, selain bunga yang sama paras dengan tanda TWI menunjukkan tayar telah haus.

“Retakan kecil, benjolan atau tayar yang menjadi keras adalah petunjuk bahawa tayar sudah lama atau rosak. Tekanan angin pula perlu disemak setiap minggu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pengeluar,” katanya.

Beliau mencadangkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan kempen pendidikan keselamatan tayar secara lebih proaktif, termasuk pemeriksaan berkala dan mewajibkan penggunaan tayar yang mematuhi piawaian.

Dalam pada itu, seorang penjawat awam Mohd Fairuz Shah Rezza Mustafha, 39, berkata penunggang motosikal perlu memahami dan mempelajari ciri-ciri tayar yang selamat tanpa hanya bergantung kepada mekanik semata-mata.

“Sebagai penunggang, kita lebih dekat dengan kenderaan sendiri. Oleh itu, pemantauan keselamatan tayar seharusnya bermula daripada kita sendiri. Saya lebih suka memeriksa sendiri keadaan tayar kerana dengan cara itu saya akan lebih yakin untuk menunggang,” katanya.

Beliau yang menggunakan motosikal Honda RS150R sebagai kenderaan utama ke tempat kerja dan aktiviti konvoi mengakui tidak keberatan untuk berbelanja lebih bagi mendapatkan tayar berkualiti tinggi yang diyakini selamat untuk kegunaan harian.

“Saya percaya tayar berjenama mempunyai jaminan keselamatan yang tinggi hasil daripada kajian penyelidikan dan pembangunan yang teliti serta pelbagai ujian bagi memastikan setiap perincian reka bentuknya benar-benar selamat digunakan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan