GEORGE TOWN, 1 Jun (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memfokuskan kepada tiga keadaan cuaca, iaitu panas, hujan dan angin kencang yang boleh dikaitkan dengan kemungkinan bencana sepanjang Monsun Barat Daya ketika ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata dalam tempoh sekarang hingga September, cuaca dijangka kering sehingga menyebabkan suhu menjadi tinggi, namun sesekali dijangka berlaku hujan lebat berserta angin kencang dan ribut.
"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan tidak berlaku musim yang ekstrem kali ini. Namun bomba sentiasa bersiap sedia," katanya kepada pemberita selepas menutup Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Bomba 2025 di Padang Polo di sini hari ini.
Sebanyak 63 pasukan menyertai kejohanan itu yang melibatkan enam kategori dengan pasukan Sarawak dinobatkan juara kategori Bomba selepas menundukkan Selangor 10-0 pada perlawanan akhir.
Sementara itu Nor Hisham berkata selain bersedia dengan peningkatan kes kebakaran terbuka ketika cuaca panas, pihak bomba juga bersiap siaga untuk tugas menyelamat akibat kepala air dan ribut.
"Kekhuatiran kita adalah hujan pada sebelah petang terutamanya musim cuti (sekolah) ketika ini kerana orang ramai akan ke kawasan seperti jeram serta pantai. Kita perlu berhati-hati dan sentiasa memantau laporan cuaca, kalau ada amaran hujan lebat, segera beredar," katanya.
Beliau berkata panggilan kecemasan laporan kebakaran terbuka setakat April tahun ini telah mencatatkan penurunan kepada hampir 3,000 kes berbanding lebih 9,000 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Media sebelum ini melaporkan MetMalaysia menjangkakan Monsun Barat Daya akan melanda bermula 10 Mei hingga September ini susulan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya ke rantau negara.
Sepanjang musim itu, kadar kelembapan udara lazimnya rendah sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat, namun hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah berikutan kehadiran fenomena garis badai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial