AM

Tiada Keperluan Mendesak Untuk Rombakan Kabinet - PM Anwar

01/06/2025 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet buat masa ini.

Anwar berkata kerajaan kekal berfungsi walaupun dua menteri meletakkan jawatan baru-baru ini.

"Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri sudah letak jawatan, (dan) kami memberikan masa kepada mereka untuk memikirkan apa yang mereka mahu lakukan.

"Kini mereka sedang bercuti. Saya sudah luluskan permohonan cuti mereka. Saya rasa kita tidak perlu buat andaian," kata beliau kepada pemberita pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Anwar berkata Kabinet terus berfungsi seperti biasa, dan aturan sementara akan dibuat untuk memastikan kesinambungan tadbir urus.

Pada 28 Mei lepas, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan bahawa mereka telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, dan mula bercuti.

Peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai ini.

"Pada (mesyuarat) Kabinet akan datang, saya akan minta menteri (lain) untuk menggantikan sementara (Nik Nazmi dan Rafizi)," kata Anwar.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata beliau akan meminta ketua setiausaha dua kementeriain berkenaan untuk terus menjalankan tugas masing-masing.

"Semua ketua setiausaha diminta untuk meneruskan tugas mereka, kerana kita berada dalam rundingan yang serius … ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk, China dan Amerika Syarikat (AS), termasuk cadangan tarif (Presiden AS) Donald Trump," kata beliau.

Rafizi dan Nik Nazmi kalah pada pemilihan PKR 2025 bulan lepas.

Rafizi gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR apabila tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi kecundang dalam perebutan jawatan Naib Presiden.

Susulan peletakan jawatan itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan dalam kenyataan bahawa Perdana Menteri telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada kedua-dua menteri.

PMO menyatakan Anwar bersetuju meluluskan permohonan cuti berkenaan dan sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan