AM

Anwar, Pemimpin Singapura Bincang Isu-isu Penting Dua Hala

31/05/2025 10:24 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 31 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan isu-isu penting dua hala dengan pemimpin Singapura termasuk hal ehwal sempadan dan maritim, tenaga boleh baharu serta inisiatif serantau seperti Grid Kuasa ASEAN sebelum mengakhiri lawatan kerja sehari ke republik itu.

Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam di The Istana dan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Lawrence Wong sebelum berlepas pulang.

“Kami turut mengkaji semula projek-projek yang sedang berjalan seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, yang dijadualkan siap pada akhir 2026, dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan serantau,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau juga optimistik lawatan itu akan memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Singapura untuk faedah bersama.

Wong, menerusi hantaran di laman Facebook, pula berkata beliau berharap dapat meneruskan kerjasama rapat antara Malaysia dan Singapura demi manfaat rakyat kedua-dua negara jiran itu.

Semasa lawatan itu, Anwar telah menyampaikan perutusan khas pada Dialog Shangri-La ke-22.

Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth dan Presiden Boeing Global Dr Brendan Nelson.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan