SIBU, 31 Mei (Bernama) -- Kementerian Digital meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyediakan satu laporan berhubung masalah kawasan ketiadaan kesalinghubungan serta menara telekomunikasi yang tidak berfungsi, khususnya di luar bandar Sarawak.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kedua-dua isu itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negeri (MED4IRN) pada 28 Mei lepas dan meminta MCMC mengemukakan laporan yang berkaitan dalam tempoh enam bulan.
"Saya harap dalam enam bulan yang akan datang, kita dapat menerima satu laporan khas daripada MCMC berkaitan dengan masalah itu bersama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan (melihat) bagaimana kita dapat bekerjasama untuk kita menyelesaikan masalah ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Inisiatif Jelajah Digital Rumah Panjang di Rumah Collins, Selangau, di sini hari ini.
Program anjuran Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah agensi di bawah kementerian itu mempamerkan penyelesaian praktikal di lapangan yang bertujuan membantu komuniti memanfaatkan alat digital untuk peningkatan ekonomi dan sosial.
DNB dalam kenyataan sempena pelaksanaan program itu memaklumkan, program itu melibatkan ceramah ‘eKelas Usahawan’ oleh Maxis Berhad, sesi literasi kewangan oleh SME Bank, dan boot camp TikTok Shop, bertujuan melengkapkan usahawan luar bandar dan belia dengan kemahiran pemasaran digital dan e-dagang.
Di samping itu, sesi yang dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) turut memberikan pendidikan penting mengenai keselamatan dalam talian dan tanggungjawab digital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial