AM

Media Arus Perdana Penting Untuk Perkukuh Jenama PKS

31/05/2025 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Media arus perdana perlu terus kekal relevan serta memainkan peranan penting dalam membantu memperkukuh penjenamaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kata pengasas MK Curtain Datuk (Dr) Calvin Khiu.

Beliau berkata meskipun pengaruh media sosial semakin meluas, media konvensional seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) masih menjadi platform yang dipercayai dan berautoriti dalam penyampaian maklumat sahih selain berimpak tinggi kepada masyarakat serta pemain industri.

“Media-media konvensional, maksudnya media utama, masih lagi memainkan tanggungjawab penting dalam pembinaan penjenamaan, sekarang ini dengan (pelbagai maklumat tidak sahih bertebaran) di media sosial, benar atau tidak, (ia) tidak pasti. 

“Bernama adalah platform yang sangat boleh dipercayai. Sepuluh tahun lepas, saya pernah datang ke Bernama TV untuk sesi temu ramah perniagaan dan saya percaya Bernama adalah platform terbaik untuk PKS atau mana-mana syarikat untuk menggunakan media arus perdana dalam membantu mereka,” katanya.

Khiu berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif agensi berita itu Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Wisma Bernama hari ini. 

Mengulas lanjut, Khiu berkata peranan media dalam memperluas kesedaran awam terhadap kepentingan penjenamaan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh sebahagian besar PKS.

“Banyak PKS belum faham bagaimana untuk menggunakan platform media arus perdana secara berkesan.

"Sebab itu kita perlukan lebih banyak sesi pendidikan dan perkongsian maklumat. Bernama adalah saluran yang baik dan profesional untuk itu,” katanya.

Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini, Khiu turut menyatakan komitmen MK Curtain untuk terus menyokong peranan wartawan dan industri media di Malaysia.

“Kita bangga menjadi penyokong kepada HAWANA. Media sangat penting kepada PKS. Tanpa liputan media yang kukuh dan konsisten, ramai usahawan tidak tahu bagaimana untuk memaksimumkan potensi platform seperti Bernama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan