AM

Belum Fikir Rombakan Kabinet, Rafizi Dan Nik Nazmi Masih Bercuti - PM Anwar

29/05/2025 10:47 AM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum memikirkan untuk melaksanakan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata secara prinsipnya kedua-dua menteri berkenaan sedang bercuti dan masih belum boleh digantikan.

“Belum, mereka masih bercuti. Kita tidak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Semalam, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan meletak jawatan Kabinet berkuat kuasa 17 Jun ini diikuti Ahli Parlimen Setiawangsa yang mengambil langkah sama berkuat kuasa 4 Julai.

Keputusan berkenaan susulan kegagalan mereka mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025-2028 minggu lepas.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan Anwar telah menerima surat permohonan cuti serta pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi.

Kenyataan itu memaklumkan Anwar bersetuju meluluskan permohonan cuti mereka dan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan