AM

NTW Malaysia Tawar 65,000 Kursus Percuma Kepada Lima Juta Rakyat ASEAN 

27/05/2025 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Malaysia mengukuhkan komitmennya dalam membangunkan sektor latihan kemahiran bertaraf dunia dengan memperluas Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) melangkaui sempadan negara yang menyasarkan untuk memanfaatkan sekurang-kurangnya lima juta rakyat ASEAN.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata NTW pada tahun ini akan berlangsung dari 14 hingga 21 Jun depan, menawarkan 65,000 kursus pembangunan kemahiran secara percuma merangkumi bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, teknologi hijau, dan kepimpinan.

Beliau berkata latihan itu melibatkan penyertaan daripada entiti latihan global terkemuka, seperti Microsoft, Udemy, Awantech, Alibaba Cloud serta penyedia latihan tempatan dari Malaysia.

“Buat julung kali, kita akan memperluas peluang latihan itu ke luar sempadan negara kepada rakan-rakan di seluruh ASEAN. Kita berhasrat memberikan pendedahan kepada sekurang-kurangnya lima juta rakyat ASEAN terhadap kursus latihan kemahiran berkualiti tinggi. 

“Ini pelaburan Malaysia dalam ASEAN dan dalam pembangunan modal insan. Hasrat kita menjadikan ASEAN sebagai rantau paling berkemahiran di dunia menerusi kerjasama lebih erat dengan negara-negara anggota,” katanya dalam ucapan perasmian pada Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN (AHCDIS) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) Datuk Abu Huraira Abu Yazid. 

Sim berkata simposium dua hari hingga Rabu itu, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) adalah yang pertama daripada empat acara utama di bawah inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2-25. 

Ia kemudian disusuli oleh persidangan  ASEAN Training Market pada Julai, Persidangan TVET ASEAN pada Ogos dan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN pada Oktober.

“Saya berharap para peserta akan menggunakan platform ini untuk memperkukuh jaringan pembangunan sektor modal insan merentasi rantau ini serta berkembang dan membangun bersama untuk menjadikan ASEAN rantau paling berkemahiran di dunia, menarik bakat, pelaburan, inovasi serta pertumbuhan dan kemakmuran” katanya.

NTW yang diperkenalkan pada Mei 2023 ialah satu minggu yang dipenuhi dengan acara dan aktiviti latihan, menghimpunkan organisasi dan individu daripada pelbagai latar belakang serta industri untuk memperoleh pelbagai peluang pembelajaran dan pembangunan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan