KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan utama ke arah membangunkan pelan pendidikan baharu (2026-2035), Kurikulum Persekolahan 2027 dan agenda Reformasi Sekolah pada tahun ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM juga sedang berusaha melanjutkan dasar pendidikan wajib ke peringkat menengah sekali gus meminta kerjasama semua Exco serta pimpinan negeri untuk merealisasikan hasrat murni itu demi masa depan anak-anak.
“Pendidikan negara adalah hak semua anak Malaysia. Maka usaha untuk membangunkannya perlu dilakukan bersama dengan bersungguh-sungguh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata Mesyuarat Jawatankuasa Eexco Pendidikan Negeri yang diadakan semalam, platform terbaik untuk menterjemahkan kebersamaan dan komitmen semua pihak bagi membangunkan pendidikan.
“Ia peluang untuk menyampaikan perkembangan terkini pendidikan negara, membincangkan isu-isu berbangkit di peringkat negeri dan mencari jalan penyelesaian.
“Saya turut mengambil maklum semua pandangan dan sumbang saran yang diberi sewaktu mesyuarat. Apa saja usaha untuk kebaikan sektor pendidikan perlu disambut baik.
“Semoga hubungan antara KPM dan kerajaan negeri akan terus diperkukuh bagi meningkatkan kecemerlangan kualiti pendidikan negara,” katanya.
Fadhlina berkata dalam mesyuarat itu beliau turut berkongsi mengenai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
“Program intervensi yang dilaksanakan di peringkat negeri ternyata membuahkan hasil. Syabas semua!”
“Keciciran SPM turut berjaya ditangani dengan baik. Kadar keciciran pada 2024 jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Semoga usaha baik di semua peringkat dapat diteruskan sekali gus menoktahi keciciran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial