AM

Felda, Kerajaan Negeri Pahang Kerjasama Perkukuh Kedudukan Strategik FGV

26/05/2025 10:48 PM

BENTONG, 26 Mei (Bernama) -- Penyertaan Pahang sebagai pihak-pihak yang menyelaras bersama (PAC) dalam pengambilalihan sukarela tanpa syarat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terhadap baki saham FGV Holdings Bhd (FGV) mampu memperkukuh kedudukan strategik FGV.

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu bukan sahaja mempercepat usaha agensi itu mencapai pemilikan 90 peratus saham seperti yang disyaratkan Bursa Malaysia malah memperlihatkan kesepakatan antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri dalam agenda pembangunan sektor perladangan negara.

Beliau berkata kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pahang membuka ruang kepada sinergi lebih luas dalam aspek pemerkasaan ekonomi peneroka.

 “Sekarang Felda mempunyai 82 peratus dan pemilik saham lain yang terbesar adalah Kerajaan Negeri Pahang iaitu lima peratus. Bunyinya lima peratus namun tanpa lima peratus itu, ia tidak mencapai 90 peratus seperti disyaratkan Bursa Malaysia. 

“Dengan ini, proses mendapatkan 90 peratus seperti disyaratkan itu semakin hampir. Pada masa sama, perjanjian ini menjadikan hubungan Kerajaan Negeri Pahang dan Felda (sebagai) satu hubungan yang akrab dan penting dengan banyak keputusan mesti dilihat secara bersama,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra Felda bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Besar Felda Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata penyertaan Pahang dalam pengambilalihan itu sebagai manifestasi kesungguhan kerajaan negeri untuk menjadi sebahagian daripada agenda nasional yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri, kelangsungan FGV dan kesejahteraan masyarakat Felda.

“Saya beri jaminan kerajaan negeri akan terus menyokong semua agenda besar Felda termasuk pembangunan semula kawasan rancangan lama, mempertingkatkan kemudahan awam dan prasarana, meningkatkan nilai tahap tanah dan mengukuhkan kualiti hidup peneroka khususnya generasi baharu Felda,” katanya.

Terdahulu, FGV menerima tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat daripada Felda yang bertujuan untuk mendapatkan semua baki saham dalam syarikat itu yang belum dimilikinya.

Menerusi notis dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank Bhd bagi pihak Felda, tawaran itu mencadangkan bayaran tunai sebanyak RM1.30 sesaham untuk semua saham biasa FGV yang tidak dipegang oleh Felda ketika ini.

Setakat 20 Mei 2025, jumlah modal saham terbitan FGV adalah sebanyak RM7.02 bilion, terdiri daripada 3.64 bilion saham biasa dan satu saham khas dipegang oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Selain Kerajaan Negeri Pahang, PAC membabitkan anak syarikat milik penuh Felda, Felda Asset Holdings Company Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan