AM

Perdana Menteri Vietnam Diberi Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

25/05/2025 07:07 PM

PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi pertamanya ke negara ini, telah diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Chinh disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tiba pada 2.30 petang sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Refomasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, diplomat asing serta pengawai kanan kerajaan. 

Chinh diiringi isterinya Le Thi Bich Tran, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Bui Thanh Son, menteri-menteri dan pegawai kanan kerajaan Vietnam.

Ini adalah lawatan pertama Chinh ke Malaysia sejak memegang jawatan pada April 2021 dan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya mengadakan perbincangan bagi meneliti perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Vietnam, yang meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada November 2024.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan perbincangan akan memberi tumpuan kepada kemajuan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga boleh dibaharui, pelancongan serta teknologi digital.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan secara mendalam mengenai perkembangan serantau dan global, dengan penekanan terhadap peranan strategik ASEAN sebagai platform yang bersepadu dan responsif dalam menangani isu bersama, khususnya di tengah cabaran geopolitik dan geoekonomi yang kian meningkat.

Pada 2024, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN. Jumlah dagangan dua hala Malaysia-Vietnam mencecah RM83.11 bilion, dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM53.86 bilion, manakala import dari Vietnam berjumlah RM29.25 bilion.

Syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih 700 projek di Vietnam merentasi pelbagai sektor, dengan nilai pelaburan kumulatif melebihi US$13 bilion.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan