AM

MTA Rai Pencapaian Cemerlang Pemain Industri Takaful Malaysia Pada TSA 2025

25/05/2025 10:48 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) meraikan pencapaian cemerlang pemain industri takaful negara pada Takaful Star Awards 2025 (TSA 2025) yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, malam tadi. 

Bertemakan "Honouring Excellence, Inspiring the Future", anugerah itu dihadiri lebih 700 tetamu terdiri daripada barisan pengurusan kanan syarikat takaful dan retakaful (takaful semula), pakar industri kewangan Islam serta ejen takaful dari seluruh negara. 

Pengerusi MTA Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata anugerah tersebut bukan sahaja bertujuan meraikan pencapaian tetapi juga mengiktiraf individu dan organisasi yang memberikan sumbangan signifikan kepada masyarakat melalui penerapan nilai-nilai takaful.

"Malam ini kita bukan sekadar meraikan kejayaan, kita mengangkat mereka yang menunjukkan kecemerlangan dan memberi ilham kepada semua untuk terus menyampaikan nilai-nilai takaful kepada masyarakat. Ini adalah tentang impak, amanah dan kasih sayang sosial yang kita sampaikan," katanya dalam ucapan perasmian. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata anugerah berkenaan mencerminkan evolusi industri yang berpaksikan nilai, keberkesanan, dan masa depan yang mampan.

"Melalui pelan transformasi industri Hijrah27, kita komited untuk membina ekosistem takaful yang lebih dinamik dan berimpak tinggi,” katanya.  

Beliau berkata pada tahun ini, MTA menyaksikan kejayaan pelbagai inisiatif seperti Profesionalisme Ejen Insurans dan Takaful (PITA) serta Pelan Hala Tuju Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) sebagai penanda aras baharu dalam memperkasa profesionalisme, pendigitalan serta budaya prestasi tinggi dalam kalangan ejen dan pengendali takaful.

TSA 2025 kali ini turut menyaksikan pengenalan Trailblazer Award: Anugerah Inspirasi Hijrah yang diberikan kepada Lembaga Tabung Haji menerusi inisiatif TH Khairat atas sokongan luar biasa institusi itu terhadap transformasi Hijrah27 serta memberi impak sebenar dalam memperluas akses dan penerimaan perlindungan takaful di Malaysia. 

Sebanyak 68 penerima diiktiraf pada anugerah itu malam tadi menerusi 31 kategori anugerah, mencerminkan keunggulan dalam pelbagai segmen perkhidmatan takaful.

TSA 2025 turut disokong penuh pengendali takaful di negara ini dengan mendapat penajaan antaranya daripada AIA PUBLIC Takaful Bhd, Etiqa Takaful Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan