AM

Kes Teoh Beng Hock: Keluarga Diberi Notis NFA Selasa Lepas - KPN

22/05/2025 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Notis pemakluman mengenai keputusan untuk mengklasifikasikan kes kematian Teoh Beng Hock sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) telah diserahkan kepada wakil keluarga mendiang, Selasa lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata notis itu diserahkan kepada peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili keluarga mendiang, melalui surat dan e-mel bertarikh 20 Mei pada 3.58 petang.

“Pemakluman tersebut dikeluarkan oleh Ketua Pasukan Siasatan iaitu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Selangor ACP NorAzizulkifli Mansor,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan memaklumkan telah mengarahkan agar tiada tindakan lanjut diambil berhubung kematian Teoh setelah meneliti dan mengkaji semua keterangan dalam kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia.

Menurut AGC, hasil penelitian terhadap keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang.

Mengulas lanjut, Razaruddin berkata pihak polis telah merujuk kertas siasatan berkaitan kes itu kepada AGC pada 17 April lepas susulan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Nov 2024.

“Pejabat Peguam Negara kemudian memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan ini sebagai NFA atau Kemas Untuk Simpan (KUS) pada 19 Mei lepas,” katanya.

Pada Februari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa kerajaan bersetuju membuka semula siasatan kes itu.

Teoh, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di tingkat 14 premis berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan