AM

Perlis Haramkan Penjualan Vape Berkuat Kuasa 1 Ogos

14/05/2025 03:54 PM

KANGAR, 14 Mei (Bernama) -- Penjualan rokok elektronik atau vape diharamkan di negeri Perlis berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan larangan penggunaan vape yang diputuskan haram menerusi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengenai rokok elektronik itu pada 2022.

“(Sehubungan itu) mana-mana peniaga vape (di Perlis) kena siap sedia untuk cari perniagaan baharu, lesen dan operasi perniagaan mereka akan dihentikan (mulai 1 Ogos nanti),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata meskipun tidak dapat mengekang penggunaan vape sepenuhnya, namun beliau optimis dengan tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik itu untuk menyelamatkan anak-anak muda daripada terjebak dengan pengambilan vape.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan melakukan operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan yang menjual vape itu selepas 1 Ogos nanti.

Sementara itu Mohd Shukri berkata Tahun Melawat Perlis 2024-2025 akan dilanjutkan sehingga tahun depan untuk seiring dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Jadi kita harap kehadiran pelancong-pelancong ke negeri Perlis akan bertambah dengan adanya serentak Tahun Melawat Malaysia tersebut, mudah-mudahan ia akan beri banyak manfaat kepada rakyat negeri Perlis.

“Saya menyeru rakyat Perlis untuk menerima kehadiran pelancong bagi meningkatkan taraf ekonomi dan santuni semua pelancong yang hadir ke Perlis dengan sempurna,” katanya yang turut memaklumkan kemasukan pelancong ke negeri itu tahun lepas mencapai sasaran iaitu kira-kira 3.5 juta orang.

 Beliau berkata kerajaan negeri mungkin akan menambah program pelancongan baharu yang bersesuaian selain program sedia ada Tahun Melawat Perlis 2024-2025 itu dalam usaha menarik lebih ramai pelancong datang ke Perlis pada tahun depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan