PEKAN, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menahan empat lelaki warga asing dan merampas 200,000 liter diesel bersubsidi serta sebuah kapal dalam serbuan di Kuala Pahang, di sini Ahad lepas.
Pengarah KPDN Pahang Jezlily Jamaluddin berkata serbuan Op Tiris itu dilakukan selepas menerima maklumat risikan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan sebuah kapal yang berlabuh dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kapten kapal itu gagal mengemukakan dokumen sah daripada Pengawal Bekalan berkaitan pemilikan atau urus niaga minyak diesel yang dibawa.
"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan kompartmen tangki pada kapal itu yang mengandungi cecair berwarna kuning disyaki minyak diesel bersubsidi," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata minyak diesel itu dianggarkan berjumlah RM480,000 manakala kapal yang didaftar di bawah syarikat persendirian di negara ini bernilai RM85,000.
"Kapten kapal itu memaklumkan yang kapal terbabit terpaksa berlabuh kerana mengalami kerosakan.
"Dia juga memberitahu minyak diesel yang dibawa itu digunakan bagi tujuan pembaikan kapal dan untuk kegunaan 30 buah kapal lain milik syarikat yang berpangkalan di Miri, Sarawak," katanya.
Jezlily berkata berikutan itu kapten kapal dan tiga kru berusia lingkungan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Kita percaya kapal itu sudah berlabuh selama dua bulan di sini dan telah berlaku pemindahan minyak diesel ke lori-lori tangki manakala minyak diesel di dalam kapal itu sebelumnya disyaki diambil daripada pelbagai lokasi limbungan kapal," katanya.
Beliau berkata sebarang pemilikan dan pengedaran barang kawalan seperti diesel tanpa lesen sah adalah satu kesalahan serius dan pihaknya akan terus melaksanakan tindakan tegas di bawah inisiatif ‘Kita Gempur’.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial