AM

Pemergian Sembilan Anggota FRU Kehilangan Besar Kepada Negara - Fahmi Fadzil

13/05/2025 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Pemergian sembilan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan pagi tadi merupakan satu kehilangan besar  bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperjuangan, tetapi juga kepada negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata anggota FRU adalah wira negara yang sentiasa bersedia berada di barisan hadapan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tragis itu.

“Tragedi ini amat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.  Saya mendoakan agar roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Fahmi turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar selain mengajak semua rakyat berdoa agar anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan mereka.

“Kementerian Komunikasi sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih, serta menyekat penyebaran berita palsu berhubung insiden ini demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan. Al-Fatihah,” katanya.

Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin hari ini berkata angka kematian dalam kemalangan membabitkan lori pasukan FRU dengan lori muatan batu sehingga kini berjumlah sembilan orang.  

Kesemua yang maut adalah anggota FRU dari Unit 5 Ipoh dan mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan