AM

Rimbunan Hijau Raikan 50 Tahun Pencapaian Ekonomi Dan Kejayaan Global

12/05/2025 11:14 PM

SIBU, 12 Mei (Bernama) -- Rimbunan Hijau (RH) Group meraikan ulang tahun ke-50 dengan meriah di Dataran Tun Tuanku Bujang, sebagai mengenang lima dekad kejayaan serta sumbangan kepada ekonomi negara dan reputasi di peringkat global.

Majlis sambutan gilang-gemilang itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran orang ramai serta persembahan daripada artis terkenal tanah air Shila Amzah serta artis tempatan, pasukan tarian Singa dan Naga serta persembahan istimewa daripada warga kerja RH Group.

Kemuncak malam ini adalah pertunjukan dron melibatkan 330 unit dan pertunjukan bunga api muzikal selama 13 minit , yang dihasilkan dengan bantuan tiga bakat muda tempatan dari Sibu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucapannya yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Nancy Shukri memuji RH Group atas sumbangan besar dan legasi berterusan dalam pembangunan ekonomi yang berkembang di Sibu, Sarawak, Malaysia hingga peringkat global.

“Selama 50 tahun lepas, Rimbunan Hijau telah mengukuhkan perniagaan dan memberikan sumbangan luar biasa kepada pembangunan ekonomi Sibu, Sarawak, Malaysia serta pelbagai negara,” katanya.

Beliau turut memuji Pengarah Urusan RH Group Datuk Tiong Thai King yang mempunyai visi dan kesungguhan dalam memimpin kumpulan berkenaan untuk mencapai kejayaan berterusan.

“Hari ini, di bawah kepimpinan cemerlang Datuk Tiong Thai King yang juga rakan sejawat saya di Parlimen hingga 2013, kami yakin Rimbunan Hijau akan terus mencapai kejayaan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut memberikan penghargaan kepada kakitangan syarikat yang amat dedikasi dalam menghadapi pelbagai cabaran bagi memastikan kejayaan, serta berharap RH Group akan terus memberikan sumbangan kepada pembangunan negara serta serantau.

Sementara itu, Fadillah berkata pertunjukan dron yang mengagumkan itu bukan sahaja menandakan pencapaian korporat tetapi juga mempamerkan kebanggaan Sibu dalam melahirkan bakat bertaraf dunia dan inovasi, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara RH Group dan masyarakat tempatan serta aspirasi global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan