AM

MARii Lancar Skim Pelabelan NxGV Sukarela

12/05/2025 01:56 PM

SERDANG, 12 Mei (Bernama) -- Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) memperkenalkan Skim Pelabelan Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) secara sukarela bertujuan menyediakan rangka kerja yang jelas dan telus untuk menilai kenderaan berdasarkan kecekapan tenaga, pelepasan karbon, keselamatan, ketersambungan serta ciri-ciri pintar.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hanafi Sakri berkata Skim Pelabelan NxGV mencerminkan komitmen MITI untuk meletakkan Malaysia dan seterusnya ASEAN sebagai pusat kepada peralihan global ke arah mobiliti berteknologi tinggi dan mampan.

Beliau berkata pelancaran Skim Pelabelan NxGV merupakan satu pencapaian penting dalam merealisasikan matlamat Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020).

“Ia menyediakan rangka kerja yang jelas dan telus untuk menilai kenderaan berdasarkan kecekapan tenaga, pelepasan karbon, keselamatan, ketersambungan serta ciri-ciri pintar.

“Langkah ini memperkasakan pengguna untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat dan mendorong pengeluar tempatan untuk berinovasi, memenuhi piawaian global dan kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Skim Pelabelan NxGV di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dan CEO MARii Azrul Reza Aziz.

Sementara itu, Azrul Reza berkata pelabelan NxGV merupakan isyarat strategik terhadap inovasi, kemampanan dan kepimpinan ASEAN.

“Di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, kami berbangga menyelaraskan aspirasi mobiliti negara dengan keutamaan serantau, mewujudkan masa depan bersama dengan kenderaan generasi akan datang memacu kemajuan merentasi sempadan.

“Ia bukan sahaja penanda aras nasional, malah berpotensi menjadi model serantau untuk komuniti ASEAN dalam usaha menyelaraskan piawaian dan menyokong pembangunan EV rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata Skim Pelabelan NxGV Sukarela ini merupakan rangka kerja pertama seumpamanya di Malaysia yang direka untuk menilai dan memaklumkan keupayaan kenderaan generasi akan datang meliputi kecekapan tenaga, pelepasan karbon, keselamatan, ciri-ciri pemanduan autonomi dan ketersambungan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan