Oleh Mohd Noor Azeery Idris dan NurulJannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Bernama TV akan menerbitkan sebuah program bertajuk 'Bual Bisnes' dengan konsep santai namun penuh informasi dengan mengetengahkan pengasas dan kepimpinan syarikat sebagai inspirasi kepada usahawan yang mula mahu berjinak dalam dunia perniagaan.
Program selama 30 minit ini akan menemui penonton bermula 3 Mei, 2025, setiap hari Sabtu pada pukul 1.30 tengah hari.
Ia dirangka untuk mendidik dan memberi pendedahan kepada penonton mengenai pelbagai aspek dunia perniagaan serta peranan penting sektor keusahawanan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Setiap episod akan menampilkan sesi bual bicara bersama pemilik syarikat berjaya yang akan berkongsi pengalaman, cabaran serta strategi mereka dalam membangunkan perniagaan masing-masing.
Fokus turut diberikan kepada isu-isu semasa, trend perniagaan masa kini, inovasi teknologi, pembangunan sumber manusia serta peluang-peluang baharu dalam sektor utama seperti automotif, kesihatan, perkhidmatan dan francais.
Program Bual Bisnes juga memberi penekanan terhadap kejayaan PKS, selain memaparkan kisah inspirasi dari syarikat-syarikat tempatan yang berjaya membina jenama mereka di pasaran domestik dan antarabangsa.
Antara syarikat yang bakal tampil berkongsi pengalaman dalam program ini ialah Richiamo Coffee Sdn Bhd; Bubbles O2; Nimroc; MSM Malaysia Holdings Bhd; Kajang Plaza Medical Centre; Unipac Engineering (M) Sdn Bhd; Mokky’s Pizza; Aris Burger; Agym Nutrition Sdn Bhd dan Ketolabs Malaysia.
Untuk memberi peluang lebih luas kepada penonton, Program Bual Bisnes akan diulang siar beberapa kali sepanjang minggu, iaitu pada hari Ahad pukul 5.30 petang, Isnin pukul 6.00 pagi, Selasa pukul 12.30 tengah hari, Rabu pukul 3.30 petang dan Khamis pukul 1.30 tengah hari.
Selain siaran di saluran Bernama TV, Program Bual Bisnes boleh ditonton melalui platform media sosial rasmi Bernama TV termasuk di laman Facebook bagi memudahkan akses kepada penonton di seluruh negara dan komuniti global.
Penerbitan "Program Bual Bisnes" selari dengan komitmen Bernama TV untuk terus memperkasa penyampaian maklumat berkenaan keusahawanan dan ekonomi kepada masyarakat serta menyokong aspirasi negara khususnya Kerangka Ekonomi MADANI dalam memperkasa sektor PKS sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi.
Dengan pendekatan santai, interaktif dan berinformasi, Program Bual Bisnes dijangka menjadi program pilihan utama bagi mereka yang berminat untuk mendalami bidang perniagaan serta mencari inspirasi daripada kisah-kisah kejayaan usahawan tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial