AM

Piawaian Keselamatan Makanan Perlu Diperketat Lindungi Kesihatan Awam - Lee

31/10/2024 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Piawaian keselamatan makanan perlu diperketat bagi melindungi kesihatan awam dan mengekalkan kepercayaan pengguna di negara ini, susulan peningkatan kes keracunan makanan di beberapa kawasan baru-baru ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata hukuman yang berat juga perlu dikenakan terhadap mereka yang melanggar piawaian keselamatan makanan sebagai usaha mengukuhkan aspek berkenaan.

“Penguatkuasaan undang-undang keselamatan makanan sedia ada mesti dilaksanakan dengan tegas. Pihak berkuasa perlu mengadakan pemeriksaan dengan lebih kerap dan teliti terhadap premis makanan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kebersihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa agar kursus pensijilan keselamatan makanan diwajibkan kepada semua pengendali makanan.

“Semua yang terlibat dalam penyediaan makanan perlu dilatih sepenuhnya dalam amalan pengendalian makanan yang selamat termasuk memahami kebersihan yang betul, menjaga kebersihan di kawasan penyediaan dan mematuhi garis panduan kawalan suhu,” katanya.

Lee berkata pengusaha makanan perlu dipertanggungjawabkan memantau kesihatan petugas mereka secara berkala serta mendidik pengendali tentang risiko bekerja semasa sakit kerana jangkitan dalam kalangan pengendali makanan boleh merebak dengan cepat kepada pengguna.

Beliau berkata kempen kesedaran awam mengenai kebersihan makanan adalah penting kerana ia memberi kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan yang berinformasi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan