PENAMPANG, 29 Okt (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka untuk berbincang dengan semua parti termasuk Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata walaupun komponen GRS terdiri daripada parti tempatan Sabah, namun tidak bermakna gabungan itu tidak boleh bekerjasama dengan parti dari peringkat nasional.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Menteri menegaskan pada masa ini GRS mahu fokus terhadap mengukuhkan perpaduan antara parti komponennya dan memperkasa kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) demi membangunkan Sabah.
"Tahun 2025 adalah tahun pilihan raya. Maknanya, kita akan serah kembali kuasa kepada rakyat untuk diputuskan melalui peti undi sesuai dengan amalan demokrasi. Sebagai government of the day, GRS dan PH akan terus berkhidmat dan berbakti selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir.
“Kerajaan GRS dan PH Plus menekankan kepentingan prinsip politik sopan santun, politik perpaduan dan politik pembangunan sebagai acuan dalam membawa Sabah ke arah kemajuan dan kemakmuran. Pendirian tiga prinsip itu penting untuk dipelihara dan terus diamalkan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan di sini hari ini yang turut dihadiri Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri II.
Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN pada Ahad lepas (27 Okt) dilaporkan berkata bahawa BN dan PH telah memuktamad kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah, dijangka pada tahun depan.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan BN-PH dan GRS yang mentadbir negeri itu akan bekerjasama pada PRN berkenaan dan telah bertemu dengan pemimpin utama GRS dan mengadakan perbincangan secara umum untuk mewujudkan kesefahaman.
Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Ditanya mengenai saranan Dr Joachim agar GRS mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi untuk menghadapi PRN Sabah Ke-17, Hajiji berkata usaha itu akan dilakukan dan satu mesyuarat pemimpin GRS akan diadakan bulan depan mengenai perkara itu.
Di Kota Kinabalu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick dalam satu kenyataan berkata setakat pengetahuannya, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) belum berbincang secara formal mengenai kerjasama dengan mana-mana parti untuk menghadapi PRN Sabah ke-17.
UPKO merupakan parti komponen PH bersama PKR, DAP dan Amanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial