AM

Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin: 18 Laluan Ditutup Dan Dilencong

28/10/2024 07:17 PM

KUALA KANGSAR, 28 Okt (Bernama) -- Sebanyak 18 laluan di Kuala Kangsar akan ditutup dan dilencongkan bagi memberi laluan kepada acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2024 pada 10 Nov depan. 

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata penutupan itu akan dilaksanakan bermula 12 tengah malam Sabtu sehingga program berkenaan selesai.

Beliau berkata 10 jalan utama akan ditutup manakala lapan jalan lagi akan dilencongkan bagi melancarkan perjalanan program dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut berkenan berangkat ke majlis itu. 

"Larian akan bermula di Dataran Pavilion Kuala Kangsar dan tiga laluan ditutup pada 12 tengah malam iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Kolej Melayu dan Persiaran Bendahara manakala  tujuh laluan lagi ditutup pada 6.30 pagi iaitu Jalan Raja Idris, Daeng Selili, Raja Chulan, Sultan Nazrin Shah (Jalan Taiping), Bukit Chandan, Kangsar dan Jalan Bendahara. 

"Kenderaan yang melalui Jalan Ipoh-Butterworth arah Sungai Siput akan dilencongkan ke Jalan Kuala Kangsar Jamuan Kati termasuk kenderaan yang datang dari arah Taiping (guna jalan sama), manakala Jalan Manong-Kuala Kangsar (Jalan Sultan Iskandar Shah) dari Manong ke Kuala Kangsar akan dilencongkan ke Jalan Dato Sagor," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Heisham berkata laluan lain yang terlibat ialah di Jalan Bukit Chandan dari arah Istana menuju Bulatan Menara Jam akan mengikut Jalan Bukit Kerajaan dan kenderaan dari Jalan Bukit Kerajaan dari Chandan Puteri menuju bulatan sama turut akan dilencongkan ke Taman Chempaka Sari. 

"Polis akan turut melencongkan kenderaan yang melalui Jalan Sayong Tanjung Belanja dari Tanjung Belanja menuju Kuala Kangsar perlu melalui Jambatan Manong secara tapisan kenderaan. 

"Penutupan laluan secara berperingkat di kedua-dua arah Jalan Raja Idris bermula 6.45 pagi (Ahad) dan lencongan kenderaan berat turut dilakukan di Jalan Ipoh-Butterworth dan Jalan Sayong Tanjung Belanja oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya. 

Sehubungan itu beliau berkata pihak polis menasihati orang ramai supaya menggunakan laluan lain sebagai jalan alternatif dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.

"Kita turut akan menempatkan lebih 200 anggota bagi tujuan kawalan keselamatan dan aliran trafik yang dijangka bakal menarik lebih 20,000 pengunjung dengan penyertaan 12,000 peserta. 

"Pengguna yang hendak melalui jalan-jalan berkenaan juga dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memberi kerjasama bagi mengelak sebarang kesulitan selain memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan itu," katanya. 

Orang ramai juga dinasihati menggunakan 17 parkir kenderaan yang disediakan iaitu kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Stesen Bas Kuala Kangsar, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Jalan Raja Idris, Bendahara, Raja Chulan dan Jalan Taiping, Dewan Jubli, Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Agama Kuala Kangsar, Masjid Ridzwaniah dan Kelab Idris termasuk kawasan Kolam Renang dan Bukit Kerajaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan