EKONOMI

Strategi-5i, Sri Wujudkan Asas Kukuh Bagi Kewangan Mampan

28/10/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Inisiatif seperti Strategi-5i dan rangka kerja Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) mewujudkan asas yang kukuh bagi kewangan mampan, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengerusinya Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pencapaian penting itu termasuk pengenalan Rangka Kerja Sukuk SRI sedekad yang lepas.

“Malaysia menerbitkan sukuk hijau pertama di dunia pada 2017, dan kami adalah antara negara ASEAN yang teratas bagi kewangan mampan.

"Walaupun mempunyai kedudukan serantau yang kukuh, bahagian pasaran bon alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) Malaysia kekal sederhana, menyumbang 0.3 peratus daripada jumlah bon terkumpul setakat ini pada tahun ini," katanya berucap pada Forum Pasaran Bon ASEAN+3 ke-41 di sini hari ini.

Mohammad Faiz berkata terdapat pelbagai tawaran Sukuk SRI dalam bidang seperti bangunan hijau, rumah mampu milik, pendidikan dan banyak lagi.

Dalam forum itu, beliau menekankan bahawa antara isu yang dihadapi oleh Asia adalah memastikan projek kemampanan dibiayai.

“Antara halangan terbesar adalah projek yang berdaya maju dari segi kewangan. Sekurang-kurangnya 35 peratus daripada projek infrastruktur mampan boleh diterima oleh bank, dengan 55 peratus lagi dianggap tidak boleh dibankkan.

"Projek yang tidak dibiayai boleh mengakibatkan jurang kewangan iklim sebanyak US$2 trilion setiap tahun, menghalang keupayaan Asia untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050," katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, antara penyelesaiannya adalah mewujudkan kumpulan bentuk modal yang berbeza -- daripada pelabur komersial kepada dana bersifat dermawan -- yang bermatlamat untuk membiayai projek kritikal.

Pembiayaan campuran adalah contoh utama kepada inisiatif ini, katanya sambil memaklumkan pembiayaan sedemikian adalah berkenaan penstrukturan dan pengurusan risiko secara berkesan yang membolehkan penyedia modal kanan atau komersial melaksanakan pelaburan terlaras risiko secara berskala di samping mencapai pulangan yang diperlukan.

Mohamad Faiz berkata, sehubungan itu, perbincangan sebenar perlu tertumpu untuk mengurangkan risiko dalam projek besar.

Menurutnya pada masa sama, Malaysia menghadapi cabaran dalam mengguna pakai piawaian ESG memandangkan penyertaan sektor swasta yang terhad dan tidak tetap telah mengakibatkan penggunaan ESG yang lebih perlahan di seluruh industri, menyekat potensi pelaburan kemampanan yang berpacukan pasaran.

“Untuk Malaysia mencapai matlamat iklim dan kemampanannya, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan penglibatan syarikat swasta dan sektor kewangan, mengukuhkannya untuk menjadi lebih proaktif dalam memacu kewangan mampan dan inisiatif penyesuaian iklim,” katanya.

Mohammad Faiz menekankan bahawa di seluruh rantau ASEAN, keperluan untuk kewangan mampan adalah lebih penting, justeru beliau menyeru kerjasama di peringkat ASEAN untuk bekerjasama bagi memastikan kewangan memberi manfaat yang lebih besar.

"Kesabaran dan ketekunan diperlukan ketika kita membina masa depan yang mampan, mencerminkan nilai dan aspirasi kita bersama," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan