KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) masih menunggu laporan dari Jabatan Kimia untuk mengetahui punca sebenar insiden pencemaran di Pantai Esen, Pulau Pinang.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beberapa sampel telah diambil di tiga lokasi di pantai berkenaan pada Isnin lepas untuk dianalisis.
“Sampel telah dikemukakan kepada Jabatan Kimia untuk mendapatkan analisis tentang punca kejadian. Sehingga itu (keputusan dikeluarkan), (perkara) yang lain-lain, saya tidak boleh komen,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sesi Libat Urus bersama Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) di Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) hari ini.
Turut hadir, Naib Pengerusi ADFIM Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah.
Media sebelum ini melaporkan keadaan Pantai Esen yang kini dipenuhi lumpur selut dan berbau dengan air pantainya berwarna kehitaman, dipercayai ada kaitan dengan projek penambakan yang terletak tidak jauh daripada kawasan pantai berkenaan.
Pencemaran itu dilaporkan turut memberi kesan kepada pengusaha sukan air dan pengunjung kerana tidak dapat mandi-manda di kawasan terbabit.
Sementara itu mengenai sesi libat urus, Nik Nazmi menyifatkannya penting kerana membolehkan kerajaan berbincang dengan institusi kewangan pembangunan (DFI) berhubung kekangan kewangan dalam usaha memastikan kelestarian alam di Malaysia.
“Dalam soal peralihan, sama ada mengenai tenaga, konservasi, biodiversiti, mengatasi pencemaran dan sebagainya, isu kewangan adalah penting kerana kerajaan ada had untuk membiayainya.
“Pihak swasta pula biasanya mereka lebih berhati-hati terhadap risiko dan mereka melihat perkiraan pasaran dalam membuat pertimbangan. Jadi dalam perkara ini, penglibatan dengan DFI menjadi sangat relevan bagi dapatkan pembiayaan dalam kelestarian,” katanya.
Terdahulu, semasa sesi libat urus itu, beliau juga menyaksikan majlis menandatangi memorandum persefahaman (MoU) antara ADFIM dan auctusESG Private Limited, sebuah syarikat penasihat pakar dalam kewangan mampan; alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan peralihan iklim di India.
ADFIM dalam majlis itu diwakili Setiausaha Agungnya Mohd Prasad Hanif manakala auctusESG diwakili Pengasas dan Pengarah Urusannya Namita Vikas.
MoU berkenaan menyaksikan ADFIM dan auctusESG bakal berkolaborasi dan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman secara kolektif untuk menyampaikan perkhidmatan yang membolehkan DFI di Malaysia memacu penghijauan dalam sektor kewangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial