KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Acara Enlit Asia 2024 yang baru sahaja berakhir menggesa negara anggota ASEAN untuk bersatu, memajukan pendigitalan dan memacu inovasi untuk mempercepatkan agenda peralihan tenaga rantau ini.
Persidangan itu diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan tema ‘Membolehkan Peralihan Tenaga Berbilang Dimensi di ASEAN’ (Enabling a Multidimensional Energy Transition in ASEAN.
Ia menjadi platform untuk wacana, menjadikan perbualan dalam acara itu ke arah strategi yang boleh diambil tindakan melalui perbincangan panel, pembentangan, bengkel dan pameran interaktif.
Enlit Asia, Kementerian Peralihan Tenaga dan Kementerian Transformasi Air (PETRA) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam satu kenyataan bersama berkata komitmen padu rantau ini untuk beralih daripada penggunaan arang batu disampaikan ke seluruh dewan persidangan dan pameran sebagai pemain industri di seluruh rantaian bekalan tenaga menunjukkan strategi dan penyelesaian tindakan terhadap perubahan iklim yang inovatif untuk membolehkan penyepaduan tenaga boleh baharu (TBB) lebih komprehensif.
“Perbualan penting seperti pendigitalan grid, sistem pengurusan tenaga dipacu data dan penyelesaian mampan seperti hidrogen, penyimpanan tenaga, mobiliti hijau dan tenaga nuklear mendedahkan lagi peranan penting pembiayaan hijau dan penyelarasan dasar untuk ASEAN,” kata kenyataan itu.
Acara itu disokong oleh PETRA dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama rakan kongsi utiliti rasmi TNB serta agensi sokongan Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Kementerian Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam ucapannya pada persidangan itu menekankan kemajuan negara dalam usaha peralihan tenaga.
“Setakat Jun 2024, Malaysia mencapai 5.82 peratus penjimatan elektrik bersamaan 8,769 gigawatt jam berjumlah RM2.21 bilion.
“Memandangkan kami menyasarkan untuk mengurangkan pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak lapan peratus dengan jumlah pengurangan sebanyak 38 juta tan karbon dioksida bersamaan pelepasan gas rumah hijau, ini adalah kemajuan,” katanya.
“PETRA memuji komitmen kukuh penganjur untuk menyelaraskan Enlit Asia 2024 di Malaysia. Saya yakin perbincangan, perkongsian dan pandangan yang dikongsi di Enlit Asia 2024 akan mengukuhkan lagi masa depan tenaga di rantau ASEAN serta memberi inspirasi kepada kemajuan dan kerjasama yang berterusan.
“Kami berharap untuk melihat Enlit Asia kembali tidak lama lagi, meneruskan peranannya sebagai pemangkin kepada inovasi dan perpaduan dalam perjalanan kita ke arah landskap tenaga yang lebih mampan,” kata Akmal Nasrullah yang menyambut baik sumbangan daripada Enlit Asia 2024 dalam menganjurkan sesi perbualan ke arah membentuk pertumbuhan industri.
Dalam pada itu, TNB juga menegaskan komitmen dan sokongannya ke arah mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih negara menjelang 2050 serta memajukan aspirasi wilayah yang lebih luas.
Acara itu menyaksikan pemimpin tenaga ASEAN menyuarakan komitmen yang sama dalam memajukan peralihan tenaga di rantau ini.
Delegasi dari PT PLN (Persero) Indonesia, SP Group Singapura, Ho Chi Minh City Power Corporation (EVNHCMC) Veitnam, MERALCO Filipina dan EGAT Thailand terlibat dalam perbincangan strategi dan mengetengahkan komitmen sifar bersih masing-masing di Enlit Asia 2024, menurut kenyataan itu.
Bagi meraikan kepimpinan dan inovasi merentas sektor tenaga, Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim menyampaikan Anugerah Kuasa dan Tenaga Enlit Asia, mengiktiraf organisasi dan individu yang boleh dicontohi atas sumbangan cemerlang mereka kepada sektor tenaga.
TNB menerima pengiktirafan dalam kategori “Rangkaian Penghantaran dan Pengedaran” serta “Penyimpanan Tenaga” masing-masing bagi projek Memajukan Infrastruktur Pemeteran dan Sistem Penyimpanan Tenaga Komuniti (CESS).
Malakoff Corporation Bhd juga diberikan pengiktirafan sebagai “Pengeluar Tenaga Bebas Terbaik Tahun ini” bagi projek Pembakaran Bersama Biojisim.
Menurut kenyataan itu, bagi rakan ASEAN yang lain, MERALCO telah dianugerahkan “Utiliti Kuasa Terbaik Tahun Ini”, Persero menerima anugerah “Projek Pengelektrikan ASEAN Terbaik Tahun Ini” untuk Projek Desa Energi Berdikari, dan EVNHCMC diiktiraf untuk teknologi Grid Pintar.
Pengarah Profil Tenaga Enlit Asia, Simon Hoare memberi pandangan mengenai kejayaan acara itu dan masa depan yang ingin dicapai bagi landskap tenaga ASEAN.
“Perkara yang membezakan Enlit Asia ialah keupayaan kami untuk menghimpunkan peserta utama merentas keseluruhan rantaian bekalan kuasa dan tenaga, memupuk pendekatan yang benar-benar bersepadu terhadap sektor tenaga yang sedang berkembang di Malaysia dan rantau ini.
“Kami telah menyaksikan banyak perbincangan yang membawa kesan serta kerjasama penting sepanjang sidang kemuncak tiga hari ini,” katanya.
Enlit Asia menarik lebih 12,000 hadirin dari lebih 50 negara, termasuk kira-kira 3,000 pihak utiliti dan pengeluar tenaga bebas.
Acara itu juga menampilkan penyertaan besar daripada 400 penceramah dan 350 pempamer, mengetengahkan komitmen rantau ini untuk menangani perubahan iklim melalui perkongsian, inovasi dan perbincangan merentas sektor.
Susulan berakhirnya acara di Kuala Lumpur justeru, Bangkok kini bersedia untuk menjadi tuan rumah Enlit Asia edisi 2025.
“Tanggungjawab itu telah diserahkan, dan dengan ini, komitmen untuk memperjelas masa depan peralihan tenaga di seluruh rantau ASEAN kekal kukuh,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial