EKONOMI

Belanjawan 2025: Kurangkan Separuh Levi Eksport Sarung Tangan Getah, Kata Top Glove

10/10/2024 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pengeluar sarung tangan getah Top Glove Corporation Bhd meminta kerajaan mengurangkan sehingga separuh kadar levi eksport produk itu dalam Belanjawan 2025.

Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Lim Wee Chai berkata kumpulan itu misalnya telah membuat pembayaran levi itu selama lebih 20 tahun dan menyifatkan pengurangan berkenaan dapat mengurangkan bebanan pengeksport sarung tangan getah.

“Kami berharap Belanjawan 2025 dapat mengurangkan levi eksport sarung tangan getah. Ketika negara-negara lain seperti China dan Thailand memberi subsidi bagi membantu pengeksport, Malaysia masih mengenakan cukai ke atas pengeksport dan ini amat membebankan kami.

“Jika kerajaan mahu terus berbuat demikian, kadar levi itu perlu direndahkan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus,” katanya selepas sesi taklimat secara maya mengenai prestasi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2024, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove Lim Cheong Guan berharap kerajaan dapat memberi  memberi elaun cukai kepada pengilang bagi tujuan pelaburan dalam automasi, pendigitalan dan inisiatif hijau.

"Namun begitu, kerajaan perlu mempertimbang untuk membenarkan pengambilan semula pekerja asing yang telah dibekukan selama berbulan-bulan dan langkah ini dapat membantu ekonomi Malaysia.

"Tidak dinafikan kami telah banyak melakukan usaha automasi, tetapi kapasiti besar serta kilang sedia ada memerlukan (khidmat) sebahagian daripada pekerja asing ini," katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan untuk turut mempertimbang penggunaan gas asli Malaysia sebagai sumber tenaga.

"Oleh kerana Malaysia antara pengeluar gas asli dan salah satu pengeksport terbesar, kerajaan perlu mempertimbang dan menggalakkan penggunaan bahan itu di Malaysia dan bukannya dieksport yang tidak mewujudkan kesan pengganda menerusi ekonomi," katanya. 

Belanjawan 2025 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Okt, 2024.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan