KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) berjaya mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM61.81 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024 daripada RM925.22 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Top Glove dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan syarikat meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM2.52 bilion pada tahun kewangan 2024 daripada RM2.26 bilion sebelum ini, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah jualan.
“Prestasi kumpulan yang bertambah baik itu disebabkan oleh peningkatan jumlah jualan apabila pelanggan terus mengisi semula inventori sarung tangan yang membawa kepada kadar penggunaan yang lebih tinggi dan berlaku peningkatan kecekapan kos.
“Top Glove juga menyaksikan pertumbuhan kukuh di Amerika Syarikat (AS) apabila jumlah jualan melonjak 120 peratus dari suku ke suku, dipacu lagi oleh bilangan tinggi sarung tangan pengeluar asing yang diletakkan pada senarai amaran import Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA),” katanya.
Top Glove berkata kumpulan itu menjangkakan peningkatan lebih besar dalam pertumbuhan jumlah jualan pada suku tahun akan datang dengan tarif tinggi yang akan dikenakan oleh AS ke atas sarung tangan perubatan buatan China.
Mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan peningkatan berterusan dalam pesanan jualan selaras dengan dinamik bekalan permintaan yang positif seiring pemulihan dalam industri yang terus mendapat momentumnya.
"Bagi memastikan kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan sarung tangan yang kembali dengan pantas, pemasangan barisan pengeluaran termaju dihentikan buat sementara waktu kerana berlaku lebihan bekalan dan akan disambung semula di kilang baharu Top Glove.
“Bagaimanapun, kami mengekalkan pendekatan berhati-hati dan optimis untuk rancangan pengembangan kapasiti memandangkan persekitaran perniagaan yang tidak menentu serta boleh dipengaruhi oleh faktor geopolitik,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Top Glove Lim Cheong Guan berkata prestasi kewangan kumpulan meningkat dengan ketara bagi tahun kewangan 2024, menjadikannya lebih dekat untuk mencapai titik pulang modal.
"Kemajuan konsisten kami dipacu oleh inisiatif peningkatan yang berterusan dan menerusi sokongan berterusan daripada pekerja kami, kumpulan yakin untuk berada di landasan bagi mencapai keuntungan dan pertumbuhan yang mampan," katanya.
Top Glove juga mencadangkan terbitan bonus sehingga 405.96 waran berdasarkan satu waran untuk setiap 20 saham Top Glove sedia ada, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan yang akan datang pada Januari 2025.
“Waran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh lima tahun dari tarikh pengeluaran yang harga pelaksanaannya akan diumumkan kemudian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial