Daripada Rosmalis Anuar
VIENTIANE, 8 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara Laos di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang-sidang Berkaitan.
Pesawat khas yang membawa Anwar, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada 8.37 malam waktu tempatan (9.37 malam waktu Malaysia).
Ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri Pertanian dan Perhutanan Laos Linkham Douangsavanh dan Ketua Pengarah Biro Perkhidmatan Diplomatik Vilatsone Visonenavong.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud.
Menurut kenyataan Wisma Putra selain daripada menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri akan menghadiri sidang kemuncak bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN, iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, Perdana Menteri juga akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, Sesi Pertemuan Pemimpin ASEAN bersama wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).
Sidang kemuncak itu juga dijangka akan dihadiri pemimpin dan rakan dialog ASEAN lain, termasuk Perdana Menteri China Li Qiang dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken.
Kenyataan Wisma Putra memaklumkan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan akan membolehkan Malaysia berkongsi perspektif dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu.
Perkara ini termasuk usaha membina komuniti ASEAN dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, keamanan dan kestabilan serantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baharu dan teknologi baru muncul, peralihan tenaga, keselamatan makanan, serta kemajuan Timor-Leste ke arah keahlian penuh ASEAN dan hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luarnya.
Malaysia juga akan menyatakan mengenai kedudukannya di Laut China Selatan dan pembangunan di Myanmar, Palestin dan Timur Tengah.
Pada majlis penutupan sidang kemuncak itu, Laos sebagai Pengerusi ASEAN semasa akan secara simbolik menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia.
Wisma Putra dalam kenyataan menyatakan pada majlis itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan ringkas bagi menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Malaysia secara rasminya akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial