GEORGE TOWN, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengisytiharkan darurat susulan banjir di beberapa kawasan di negeri itu kerana situasi dilihat semakin reda.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata tiada keperluan untuk membuat keputusan demikian meskipun terdapat beberapa kawasan di Seberang Perai dan bahagian pulau yang mengalami ribut.
“Mesti ada kriteria tertentu...(untuk isytihar darurat). Cuaca cerah hari ini. Juga tidak sampai ke tahap itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Kejayaan SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, malam ini.
Sementara itu, Chow turut menjelaskan bahawa banjir kilat tidak termasuk dalam kategori bagi pemberian bantuan dalam skim bantuan bencana oleh kerajaan negeri namun mereka yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibekalkan dengan barangan keperluan asas seperti makanan, minuman dan peralatan.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim ketika meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi petang tadi berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat untuk memutuskan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa banjir di negeri itu.
Sehingga pukul 7.30 malam ini, seramai 590 mangsa banjir ditempatkan di lapan PPS selepas hujan lebat dan ribut melanda Pulau Pinang sejak tiga hari lepas yang menyebabkan banyak kawasan dilanda banjir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial