IPOH, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak menafikan dakwaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembangunan Kampung Baru Cina di negeri ini, seperti tular di media sosial memaparkan kenyataan seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara itu, baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kenyataan dikeluarkan aktivis berkenaan ketika berkongsi pentas ceramah bersama pimpinan parti politik pembangkang adalah satu pembohongan kononnya kerajaan negeri pada tahun lalu telah meluluskan peruntukan tersebut selepas menerima desakan politik.
Menurutnya peruntukan seperti didakwa sebaliknya adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Kampung Baru Cina termasuk menaik taraf kemudahan seperti jalan dan longkang.
“Amat dikesali apabila aktivis berkenaan membuat kenyataan di pentas politik dengan sengaja mengeluarkan kenyataan yang sangat terpesong sehingga mengundang salah tanggapan awam terhadap kerajaan negeri Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melahirkan kekesalan, katanya kenyataan tersebut menimbulkan kegusaran apabila sebahagian netizen menelan bulat-bulat kenyataan yang dibuat sehingga melemparkan pelbagai persepsi negatif dan komen jelik mengakibatkan perdebatan bermotifkan kaum di laman sosial.
Saarani berkata jika KPKT diberi tanggungjawab membangunkan infrastrukur kampung-kampung baru Cina, Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula berperanan membangunkan kemudahan kawasan luar bandar.
“Pada 2023 misalnya, Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2.55 bilion bagi menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan desa termasuk pembinaan jalan baharu, bekalan air dan elektrik serta menaik taraf jambatan dan membaik pulih jalan rosak.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan wacana dan perbincangan sihat tetapi biarlah ia dilakukan atas prinsip kebenaran, bukannya dengan membuat ulasan secara membuta tuli dengan memesong fakta atau mereka-reka cerita untuk menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial